Skip to main
Logo Malaysiakini

Timbalan speaker patut lepas jawatan parti, kata Bersih

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sama ada Ahmad Maslan atau Nga Kor Ming, mereka perlu mepaskan jawatan dalam parti atau sekurang-kurangnya bercuti daripada sebarang posisi jika terpilih menjadi timbalan speaker Dewan Rakyat, kata Bersih.

Menurut kumpulan pendesak pembaharuan pilihan raya iu langkah tersebut perlu diambil bagi memastikan sama ada Ahmad atau Nga mampu bertugas secara adil dan dilihat benar-benar bebas daripada pengaruh parti.

Dengan cara itu kata Bersih, seseorang timbalan speaker boleh menumpukan kepada terhadap isu-isu di Dewan Rakyat dan menguatkuasakan peraturan mesyuarat tanpa sebarang ketakutan atau kepentingan parti.

"Selain daripada perlu bersikap adil, speaker dan timbalan speaker juga perlu dilantik daripada kalangan mereka yang tiada rekod jenayah atau rasuah dan berintegriti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelang sidang parlimen minggu depan, Ahmad dan Nga akan diundi menjadi timbalan speaker Dewan Rakyat yang dikosongkan Azalina Othman Said baru-baru ini.

Ahmad dan Nga merupakan setiausaha agung Umno manakala Nga timbalan setiausaha agung DAP merangkap pengerusi DAP Perak.

Isu pelantikan timbalan speaker kali ini menarik lebih banyak perhatian kerana berlaku selepas pertukaran perdana menteri daripada Muhyiddin Yassin kepada Ismail Sabri Yaakob.

Ada timbul kebimbangan

Cadangan agar tempat itu diisi wakil pembangkang disuarakan pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) dan turut mendapat sokongan Azalina yang berpendapat ia menjadi pelung terbaik untuk Ismail Sabri meneruskan agenda reformasi parlimen.

Namun Azalina mengingatkan usul tersebut perlu datang daripada pihak kerajaan. 

Kata Bersih, apa yang membimbangkan sekarang ialah Ahmad masih dibicarakan di mahkamah selepas dituduh mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2021.

Jika akhirnya dilantik menjadi timbalan speaker, kata Bersih, adakah ahli parlimen Pontian itu dapat menjalankan tugasnya dengan penuh amanah serta berprinsip.

"Adakah kerajaan dapat menjamin jawatan penting itu tidak disalahgunakan untuk melepaskan diri daripada pendakwaan yang Ahmad hadapi?

"Timbul juga kebimbangan sekiranya Ahmad menggunakan sidang parlimen yang mulia sebagai alasan untuk menangguhkan perbicaraan, yang sekali gus mencemarkan kesucian parlimen," katanya.

Pandikar Amin Mulia

Proses pengundian untuk memilih timbalan speaker Dewan Rakyat dijangka diadakan pada 14 Sept ini.

Sebelum ini beberapa pihak turut mengemukakan usul agar speaker Azhar Harun, digantikan namun ia sudah ditolak daripada dibentangkan.

Untuk rekod pada 2008, Pandikar Amin Mulia melepaskan jawatannya sebagai ketua Umno Kota Marudu selepas dipilih menjadi speaker Dewan Rakyat.

Kata Pandikar sebagai speaker dia perlu dilihat sebagai individu yang adil dari segi tindakan dan juga tingkah laku, justeru wajar untuknya tidak begitu aktif dalam politik. 

Sementara itu Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar mempersoalkan jika Azhar akan berasa selesa jika timbalannya merupakan individu yang berdepan pertuduhan pengubahan wang haram.

"Sehingga kini Azhar tidak menunjukkan keberanian untuk bersuara mengenai pencalonan Ahmad.

"Dulu Azhar dipercayai seorang reformis yang dihormati namun kini dia kelihatan sudah hilang pegangan dalam perjuangannya," kata ahli parlimen DAP itu.