Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tumpu bantu rakyat berbanding gubal akta kawal penyebaran agama'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad sepatutnya memberi tumpuan untuk membantu rakyat Malaysia semasa wabak Covid-19 berbanding menimbulkan keresahan antara agama.

Ini selepas Idris semalam mengesahkan kerajaan sedang menggubal Rang Undang-undang (RUU) untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam, namun mengatakan ia hanya untuk diguna pakai di Wilayah Persekutuan.

Beberapa negeri lain turut memiliki undang-undang seumpama itu kecuali Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.

“Saya membaca dengan kesal kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama Idris Ahmad bahawa pihaknya merancang untuk menggubal undang-undang untuk menyekat penyebaran agama bukan Islam di Wilayah Persekutuan.

"Perlembagaan Persekutuan jelas untuk semua, dan Idris Ahmad tidak perlu membuat undang-undang seperti itu di Wilayah Persekutuan kerana ini akan menimbulkan kecurigaan dan kerisauan yang tidak perlu antara orang Islam dan bukan Islam," kata Kok dalam satu kenyataan hari ini.

Idris menjelaskan semalam rang undang-undang baru itu tidak bercanggah dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

Katanya, rang undang-undang baru itu selaras dengan Perkara 11 (4) yang menyatakan bahawa: “Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawali atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”,

Teresa bagaimanapun berpendapat undang-undang sedia ada sudah memadai, dan menegaskan Idris sepatutnya menggalakkan masyarakat yang berlainan agama untuk saling bantu membantu.

"Sebagai menteri kabinet, Idris Ahmad sepatutnya melakukan yang terbaik semasa krisis untuk menggalakkan rakyat dari pelbagai agama untuk saling membantu, terutama yang miskin dan terpinggir di seluruh negara, termasuk Wilayah Persekutuan.

"Sebaliknya dia harus menunjukkan ajaran kebaikan dan amalan dalam Islam kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Justeru Teresa meminta Idris dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk meletakkan keutamaan dalam menghadapi wabak Covid-19.

"Saya menggesa Idris Ahmad dan kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri untuk menetapkan keutamaan semasa pandemik Covid-19, dan tidak menimbulkan ketegangan yang akan memecahkan keharmonian pelbagai etnik dan agama dalam masyarakat kita, ”tambahnya.

Empat hari lalu, timbalan Idris, Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan kerajaan sedang merangka beberapa undang-undang syariah baru, termasuk RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).