Skip to main
Logo Malaysiakini

Buruh mengaku salah rogol remaja bawah umur

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, hari ini, atas dua pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur dalam kejadian pada Ogos lalu.

Tertuduh Che Rohaiza Che Rohim, 39, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibaca jurubahasa di hadapan hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Menurut pertuduhan tersebut, Che Rohaiza yang bekerja sebagai buruh kasar didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun enam bulan di sebuah rumah di Kampung Bukit Kuin, Tanah Merah, kira-kira jam dua petang pada 28 dan 29 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Hajarul Falenna dalam pendakwaannya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Sementara itu, Che Rohaiza dalam rayuannya memohon pertimbangan mahkamah agar dikenakan hukuman paling ringan.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh pada 26 September depan sementara menunggu laporan perubatan mangsa.