Skip to main
Logo Malaysiakini

Suhakam puji keputusan mahkamah isu kerakyatan bayi wanita M'sia lahir luar negara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Profesor Noor Aziah Mohd Awal memuji keputusan Mahkamah Tinggi bahawa wanita warga Malaysia berhak mewariskan status kerakyatan kepada anaknya yang lahir di luar negara dengan pasangan asing, setara dengan hak yang dimiliki lelaki warga Malaysia.

Memetik sejumlah prinsip hak asasi kanak-kanak, Aziah berkata Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) mengikuti kes itu secara rapat sejak ia difailkan pada tahun lalu.

Antaranya, menurut Aziah, adalah Perkara 2 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) mengenai hak untuk tidak didiskriminasi, Perkara 7 CRC tentang hak untuk mendapatkan kerakyatan dan Pekara 8 CRC berkenaan hak untuk mengekalkan identiti kanak-kanak, termasuk kerakyatan.

"Adalah juga dalam kepentingan terbaik kanak-kanak seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3 CRC, bahawa kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia hendaklah dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia tanpa mengira kewarganegaraan bapa kanak-kanak itu.

"Hakikatnya, ketidakpastian berhubung status undang-undang kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan bapa warga asing telah

membawa kesan jangka masa pendek dan panjang kepada seluruh kehidupan kanak-kanak," katanya dalam kenyataan hari ini

Menurut Aziah, antara cabaran yang dihadapi kanak-kanak dan ibu mereka termasuk dinafikan pendaftaran kelahiran ekoran ketiadaan bapa warga asing (yang mungkin tiada dalam negara) serta dinafikan atau kesukaran untuk memperbaharui, memanjangkan atau memohon visa.

"Ketiadaan sama ada dokumen kelahiran atau visa boleh menjejaskan status kanak-kanak, di mana ia telah menghilangkan semua hak yang sepatutnya diperolehinya seperti kanak-kanak Malaysia lain, terutama akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan awam," katanya lagi.

Pada 9 september lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh wanita warga Malaysia dan bapa bukan warga secara automatik berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Hakim Akhtar Tahir membenarkan saman yang difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia pada 18 Disember tahun lalu.

Aziah menyifatkan keputusan itu membawa implikasi penting terhadap perkembangan hak asasi kanak-kanak di Malaysia.

"Ia menetapkan satu kayu ukur yang menegakkan prinsip kesamarataan, bertepatan dengan konvensyen antarabangsa yang turut ditandatangani oleh Malaysia, termasuk juga prinsip yang telah dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Keputusan Mahkamah jelas telah membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah dan adil untuk semua kanak-kanak yang lahir dari ibu bapa warga Malaysia yang berkahwin dengan bukan warga, tanpa mengira jantina," katanya lagi.