Skip to main
Logo Malaysiakini

Didakwa rogol anak tiri, penjawat awam mengaku tak bersalah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Berdepan dua pertuduhan merogol anak tiri, seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di Kelantan hari ini.

Tertuduh yang berusia 38 tahun membuat pengakuan itu sebaik kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan seorang kanak-kanak yang juga anak tirinya ketika kejadian berusia 11 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Guchil Bayam, Kota Bharu, lebih kurang jam 8 hingga 10 malam pada pertengahan tahun 2017.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan perbuatan sama dengan mangsa sama yang berusia 14 tahun 10 bulan di lokasi sama, jam 8 pagi, pada 6 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan disebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Faizuan Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana mempunyai hubungan kekeluargaan dan tinggal bersama.

Namun tertuduh yang diwakili peguam bela, Halim Ashgar Hilmi memohon supaya mahkamah membenarkan jaminan untuk kedua-dua pertuduhan.

Menurut Halim, tertuduh berkhidmat dengan agensi kerajaan sejak 17 tahun lalu dan tidak berisiko mengganggu mangsa dan akan tinggal bersama ibunya di Tumpat.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 26 Oktober depan untuk sebutan semula kes.