Skip to main
Logo Malaysiakini

Pulau Pangkor dijangka dibuka semula 1 nov

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pusat peranginan Pulau Pangkor dijangka akan dibuka semula kepada pelancong yang telah lengkap divaksin pada 1 Nov depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata bagaimanapun keputusan pembukaan semula itu masih tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara yang akan dibentangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

"Berdasarkan maklumat terkini yang diterima, hanya 87 individu daripada 8,026 penduduk termasuk pengusaha pelancongan yang belum divaksin kerana mempunyai masalah kesihatan atau perlu menjalani kuarantin disebabkan menjadi kontak rapat atau dijangkiti Covid-19.

"Jadi, kita masih lagi belum memenuhi syarat peratusan vaksinasi yang diperlukan bagi mencapai tahap imuniti berkelompok seperti yang telah ditetapkan," katanya.

Nolee Ashilin bercakap kepada pemberita selepas program penyerahan bantuan barangan keperluan yang disumbangkan Dewan Perniagaan Melayu Perak kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri Tualang Sekah (Zon Batu Gajah) di Masjid Kampung Batu 8 hari ini.

Bagi mencapai imuniti kelompok di Pulau Pangkor, sekurang-kurangnya 8,026 penduduk layak, perlu menerima vaksin daripada jumlah keseluruhan 11,500 populasi yang diunjurkan di pulau peranginan itu.

Pada Julai, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Syukri berkata Program Destinasi Bebas Covid-19 Fasa Dua Pelan Pemulihan Pelancongan ini diperluaskan ke pulau-pulau peranginan yang menjadi tumpuan utama pelancong seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tioman dan Pulau Pangkor.

- Bernama