Bakar pondok polis: Dua lelaki ditahan bantu siasatan
Polis Kelantan berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kebakaran sebuah pondok polis di Jelawat, Bachok, pada kejadian awal pagi semalam.
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, tangkapan dua individu itu dibuat sekitar jam 10.30 malam tadi dalam dua serbuan di dua lokasi berbeza.
Menurut Shafien, laporan awal diterima pihaknya setelah menerima panggilan dari bilik kawalan bomba Bachok selepas seorang saksi melaporkan kejadian tersebut kepada pihak bomba melalui talian kecemasan 999.
"Hasil temu bual anggota bomba yang bertugas, pihaknya telah menerima panggilan dari orang awam setelah mendapati pondok polis Jelawat telah terbakar semasa dalam perjalanan ke tempat kerja bersama suami.
"Ketika kejadian, saksi yang tidak memberhentikan kereta mendapati tidak ada sesiapa di tempat kejadian," katanya pada satu sidang media acara serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kelantan hari ini.
Tambahnya, hasil rakaman kamera litar tertutup kedai perkakasan berdekatan, pihaknya mendapati seorang lelaki menunggang motosikal telah bertindak membakar pondok polis tersebut sebelum beredar.
"Hasil siasatan lanjut di tempat kejadian, pihak kami menjumpai kesan jelaga pada dinding bahagian luar pondok dan kesan sedikit terbakar bahagian bawah dinding.
"Terdapat juga kesan retak pada cermin tingkap berhampiran dinding yang terbakar serta satu kepingan bahan yang terbakar dipercayai diperbuat dari plastik turut dijumpai," jelasnya.
Menurut Shafien, motif kejadian tersebut masih lagi dalam siasatan dan kedua-dua lelaki tersebut telah direman selama enam hari bermula hari ini.
"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara empat belas tahun dan juga denda," ulasnya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai