CSA: PH hampir tandatangani MOU tapi ada pemimpin bimbang kesan
Pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semakin hampir menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) antara pembangkang dan kerajaan.
Pun begitu, beberapa pemimpin dalam blok pembangkang berhati-hati dengan perjanjian itu.
Satu sumber dalam PH memberitahu Malaysiakini terdapat kebimbangan mengenai bagaimana perjanjian itu akan dilaksanakan.
Ini katanya, termasuk kekhuatiran tanggapan mengenai PH secara keliru akan dilihat mengesahkan semua tindakan kerajaan.
"Terdapat ketakutan di kalangan Pakatan Harapan ... orang (pernah) bertanya seolah-olah kita bersubahat atau memberi keabsahan kepada kerajaan dan apa sahaja yang mereka lakukan.
"Seolah-olah kami telah dibeli, yang sama sekali tidak terjadi," kata sumber yang memegang jawatan parti dan tahu maklumat rundingan PH yang sedang berlangsung.
Namun, dia meminta untuk tidak menyebut namanya kerana perkara itu sensitif.
Sumber itu berkata tindakan PH berunding bersama Ismail itu dengan niat jujur untuk mewujudkan kestabilan politik di negara ini, dan pada masa yang sama melaksanakan reformasi institusi.
Namun, katanya, mereka tidak mahu dilihat seolah-olah PH memberikan sokongan tanpa had kepada kerajaan pimpinan Umno.
Pemimpin tersebut memberi contoh pertemuan pada 25 Ogos antara pemimpin tertinggi PH dan perdana menteri, yang mana setelah itu Ismail mengumumkan senarai kabinetnya.
"Persepsi yang muncul selepas itu seolah-olah kita bersetuju (dengan komposisi kabinet).
"Itulah sebabnya kita mengatakan bahawa ia (memorandum persefahaman) bukanlah sokongan tanpa batas," katanya.
"Katakanlah, jika kita setuju untuk menandatangani (perjanjian berkenaan) hari ini, maka tiba-tiba dia (Ismail) mengumumkan Najib (Razak) sebagai penasihat ekonominya ...
"Jadi, ini antara beberapa ketakutan itu," tambahnya.
Sumber itu merujuk khabar angin bahawa bekas perdana menteri yang telah disabitkan kesalahan atas tujuh pertuduhan jenayah boleh membuat kemunculan semula dengan berperanan sebagai penasihat dalam kerajaan baru.
Menurut sumber itu lagi, wakil gabungan parti pemerintah telah menyatakan hasrat untuk melihat CSA ditandatangani pada hari ini.
Pemimpin tertinggi PH, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dan Presiden Amanah Mohamad Sabu serta Ismail telah terlibat dalam proses perundingan sejak bulan lalu.
Perundingan bermula hanya beberapa hari selepas ahli parlimen Bera dilantik menjadi perdana menteri kesembilan, jawatan yang dipegang Ismail dengan majoriti tipis di parlimen.
Dalam pernyataan bersama pertama mereka selepas pertemuan 25 Ogos, kedua-dua pihak mengatakan setuju untuk memperkukuhkan institusi parlimen.
Para pemimpin berkenaan juga mengakui pentingnya kehakiman bebas dan tadbir urus yang baik tetapi tidak memberikan perincian lebih lanjut mengenai perubahan yang akan datang.
Pada hari Jumaat, Ismail Sabri dalam satu kenyataan mengumumkan kabinet bersetuju dengan tujuh pembaharuan institusi.
Menanggapi hal ini, PH semalam berkata pihaknya cenderung untuk menerima memorandum persefahaman yang ditawarkan oleh perdana menteri, tetapi memerlukan "penambahbaikan draf yang perlu disempurnakan oleh kedua belah pihak sebelum diselesaikan."
Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata dia menyambut baik kenyataan mengenai penambahbaikan itu dan menganggapnya sebagai permulaan yang baik.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai