Amanah, DAP ketuai sayap PH, pemimpin PKR jadi ketua setiausaha gabungan
Amanah dan DAP akan mengepalai sayap pemuda dan wanita PH, sementara Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dilantik sebagai ketua setiausaha gabungan itu.
Ia merupakan beberapa lantikan yang diputuskan mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.
“Semoga pelantikan ini akan mengukuhkan lagi gerak kerja PH di Parlimen, di lapangan, serta menuju pilihan raya umum (PRU) ke-15,” kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini .
Kenyataan itu ditandatangani oleh presiden PKR Anwar Ibrahim, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng dan presiden Amanah Mohamad Sabu.
Ketua pemuda DAP Howard Lee akan menerajui sayap pemuda PH, manakala ketua wanita Amanah Aiman Athiran memimpin sayap wanita gabungan itu.
Pemuda PH sebelum ini diterajui Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin yang meninggal dunia kerana Covid-19 bulan lalu.
Antara lantikan lain ialah Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub selaku pengarah strategi PH yang baru, manakala Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dilantik menjadi penyelaras ketua whip ahli parlimen.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menjadi pengarah komunikasi PH.
Upko yang baru-baru ini menyertai PH tidak kelihatan dalam senarai lantikan baru berkenaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai