Anwar, PH didakwa ketepikan pembangkang lain runding dengan k'jaan
Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan kesal Pakatan Harapan (PH) mengetepikan parti pembangkang lain dalam mengenai perjanjian pembekalan dan keyakinan (CSA) dengan kerajaan.
"Ketika hendak menamakan calon perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini; pemimpin PH datang berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad merayu agar memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim.
"Pemimpin-pemimpin PH akan merayu, memujuk serta melakukan apa saja pada waktu itu demi menjayakan impian mereka yang ‘mustahil’ ke arah memartabatkan ketua pembangkang masa kini sebagai perdana menteri kesembilan.
"Kini, apabila hendak berunding dengan pihak kerajaan mengenai senarai pembaharuan yang dicadangkan oleh perdana menteri; Anwar bersama pemimpin-pemimpin PH ketepikan Pejuang, Warisan dan Muda yang sama-sama mengundi beliau sebagai calon pembangkang untuk jawatan perdana menteri," katanya pada satu kenyataan malam tadi.
Pembangkang telah membentuk barisan bersatu untuk menyokong Anwar dengan memperoleh sokongan 105 ahli parlimen tetapi tidak dapat menandingi dukungan 114 anggota Dewan Rakyat kepada calon Umno, Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tidak menyokong kedua-dua calon perdana menteri ketika itu. Terdapat 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat dan dua kerusi kosong.
Khairuddin menuduh Anwar dan pemimpin PH lain sebagai "tidak boleh dipercayai."
"Sikap mereka juga adalah untuk mempergunakan sokongan orang lain demi kepentingan diri mereka sendiri dan tidak lebih daripada itu.
"Bagi saya Anwar Ibrahim dan PH tidak boleh dibuat sahabat. Mereka ini adalah golongan yang tidak ikhlas serta amat bersikap individualistik," katanya.
Khairuddin berkata Pejuang perlu meneruskan rancangannya untuk bertanding 120 kerusi parlimen pada pilihan raya akan datang.
Dia percaya Pejuang akan mendapat manfaat jika PH dan kerajaan yang diterajui Umno itu menandatangani perjanjian keyakinan dan pembekalan.
Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan persekutuan pimpinan Ismail Sabri akan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) petang ini di bangunan parlimen.
Dalam satu kenyataan bersama semalam, wakil-wakil kerajaan dan PH (gambar, atas) berkata akan mendedahkan isi perjanjian tersebut kepada umum.
Menurut kenyataan itu lagi MOU itu akan disempurnakan Ismail Sabri bersama ketua-ketua parti Pakatan Harapan, iaitu Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.
Pemimpin tertinggi PH dan Ismail Sabri telah terlibat dalam proses perundingan sejak bulan lalu.
Pada kenyataan bersama pertama mereka selepas pertemuan 25 Ogos, kedua-dua pihak berkata mereka setuju antaranya untuk memperkukuhkan institusi parlimen.
Pada hari Jumaat, Ismail Sabri dalam satu kenyataan mengumumkan kabinet bersetuju dengan tujuh pembaharuan institusi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai