Skip to main
Logo Malaysiakini

Perubahan utama kaedah KKM lapor data harian Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan perubahan drastik dalam pelaporan data harian wabak Covid-19.

Laporan ini adalah dokumentasi awal berhubung perubahan utama dan akan dikemas kini pada masa akan datang.

Lebih daripada satu saluran

Sejak bermulanya penularan Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjadi sumber maklumat utama tentang perkembangan wabak di Malaysia.

Dia bermula dengan sidang media harian yang amat terperinci. Namun kekerapannya kian berkurang sejak akhir tahun lalu dan semakin jarang diadakan pada tahun ini.

Semua data utama dimaklumkan menerusi kenyataan media harian.

Pada 11 September, kenyataan media Noor Hisham tidak menyebut dua data utama - bilangan kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan dan bilangan kes aktif.

Menurutnya, maklumat ini akan dinyatakan menerusi laman web baru KKM, iaitu CovidNow.

Data akan dimaklumkan sedikit lambat

Pada kebanyakan masa, kenyataan media Noor Hisham biasanya diterbitkan antara jam enam petang hingga 7.30 petang.

Sejak 11 September, bilangan kes aktif dan kematian yang dilaporkan setiap hari disiarkan pada pukul 11.59 malam di laman CovidNow.

Ini bermakna bagi kebanyakan surat khabar, dua statistik utama ini hanya boleh dilaporkan lambat sehari.

Perubahan laporan berkenaan kes kematian

Sehingga 11 September, kes kematian akibat Covid-19 dalam trend peningkatan secara linear.

Bagaimanapun, satu set data baru telah diterbitkan dalam laman Github KKM, dengan kes kematian berdasarkan tarikh kematian yang sebenar, bukan bila kematian tersebut diklasifikasikan seperti sebelumnya.

Apabila melihat tarikh sebenar kematian, kes kematian akibat Covid-19 dalam trend penurunan di kebanyakan negeri dan wilayah.

Menurut sesi taklimat media semalam, pegawai KKM menjelaskan yang peralihan ke arah laporan yang dinamik dan masa nyata (real-time) adalah petunjuk yang lebih tepat.

Tambahan pula, punca mengapa format laporan lama menunjukkan angka kematian tertinggi baru-baru ini adalah kerana kes yang tertunggak. Malaysiakini akan meneroka isu "tunggakan data" ini dalam artikel yang lain.

Kematian menurut status vaksinasi kini boleh diakses

KKM telah menerbitkan data yang sangat rinci tetapi belum dapat dikenal pasti berkenaan mangsa kematian.

Set data ini juga menyatakan tarikh vaksinasi, jenis vaksin dan hari kematian yang sebenar.

Pada 10 September, Malaysiakini meneroka set data ini. Artikel ini tidak menganjurkan kesimpulan berkenaan tahap keberkesanan mana-mana vaksin.

Berkenaan data ICU, AEFI

Sehingga Ogos lalu, kenyaaan media Noor Hisham hanya menyatakan bilangan pesakit yang disahkan mengidap Covid-19 dalam ICU.

Kini, laman CovidNow turut mengambil kira "pesakit dalam siasatan" - iaitu pesakit yang tidak disahkan positif tetapi menunjukkan gejala berkaitan - dalam statistik.

KKM juga menyiarkan data berkenaan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI), iaitu bilangan individu yang mengalami gejala teruk selepas menerima vaksin.

Nota editor: Artikel ini mungkin akan dikemas kini dari masa ke masa.