'Pihak ramal PH hilang wibawa lepas MoU dengan kerajaan tak lihat sejarah'
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menjawab keraguan berhubung pemeteraian memorandum persefahaman antara PH dengan kerajaan, sebaik selepas acara tandatangan di Parlimen hari ini.
Menyifatkannya sebagai "memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR)", Lim berkata PH masih mempunyai "perbezaan kritikal" dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, tetapi ia perlu diketepikan bagi menghadapi wabak Covid-19.
"Penganalisis dan pengulas politik yang melihat persefahaman CSR ini sebagai kehilangan pembangkang yang berwibawa di Malaysia telah lupa untuk melihat kepada sejarah, yang penuh dengan contoh-contoh keperluan untuk bersatu apabila berhadapan dengan musuh yang membawa maut," katanya dalam kenyaaan hari ini.
Dia menyatakan beberapa contoh kerjasama, iaitu antara pemimpin China Mao Tse-Tung dengan Chiang Kai Shek bagi melawan Jepun dan kerajaan perpaduan UK dengan kerjasama Winston Churchill dengan Clement Attlee bagi melawan Nazi.
"Churchill telah mengutuk keras Parti Buruh pimpinan Attlee sebagai sosialis, tetapi apabila Britain berhadapan dengan ancaman bahaya, Churchill dan Attlee bukan sahaja membentuk kerajaan perpaduan, tetapi mereka juga membentuk pakatan dengan Stalin dari Kesatuan Soviet untuk menentang Hitler," katanya lagi.
Di Malaysia pula, Lim berkata PH tidak melangkah sejauh itu, sehingga menubuhkan kerajaan perpaduan dengan parti pemerintah.
"Apa yang kita telah lakukan adalah memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi di antara pihak kerajaan dan pembangkang," katanya.
Lim berkata, ia bertujuan agar tempoh sekarang sehingga PRU akan datang, tumpuan dapat diberikan untuk menangani wabak Covid-19 yang meragut hampir 21,000 nyawa dalam tempoh 21 bulan.
Pada masa sama, dia berkata persefahaman itu untuk "menetapkan semula reformasi institusi negara dan parlimen" yang menurutnya akan dapat membantu untuk memulakan "pemulihan ekonomi, kehidupan sosial, dan negara".
"Kita masih mempunyai perbezaan kritikal dengan parti-parti kerajaan, mengenai hal demokrasi berperlembagaan dan Rukun Negara, berkenaan kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, perang melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, penghormatan kepada hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan berpendapat, ketidaksamaan taraf ekonomi, sosial, dan akses kepada pendidikan, masa hadapan Malaysia sebagai negara hebat bertaraf dunia, dan bagaimana untuk kita menyatukan pelbagai kaum, agama, kawasan, dan budaya di Malaysia.
"Tetapi, perbezaan ini perlu menunggu masa yang sesuai kerana kita berhadapan dengan ancaman besar iaitu Covid-19.
"Kita punya persamaan, sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, atau politik, perlulah diketengahkan dan keutamaan bersama kita semua mestilah untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 untuk memastikan adanya masa hadapan yang selamat untuk kita semua," katanya lagi.
[Berita lanjut menyusul]
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai