Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin minta KPM, KPT kemuka laporan pada MPN Isnin depan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyediakan laporan untuk dibentangkan pada mesyuarat MPN Isnin depan.

Beliau berkata laporan itu penting untuk diteliti dan dibincangkan bagi memastikan seluruh sistem pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dapat kembali seperti biasa apabila institusi pendidikan negara dibuka secara beransur-ansur mengikut fasa Pelan Pemulahan Negara (PPN).

Menurutnya MPN perlu mengetahui secara lebih dekat apa yang diputuskan oleh kedua-kedua kementerian itu selain meneliti apa lagi perkara yang perlu diberikan perhatian supaya seluruh sistem pendidikan dapat kembali kepada proses pengajaran dan pembelajaran secara biasa.

“Laporan itu akan diteliti oleh majlis (MPN). Kalau ada penambahbaikan yang kita (MPN) hendak cadangkan, akan dibincang bersama-sama supaya pembukaan sekolah secara fizikal dapat dilihat secara beransur,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat membeli-belah AEON Mall AU2 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata antara perkara yang akan diambil perhatian dalam isu sektor pendidikan itu adalah kebimbangan ibu bapa, jaminan keselamatan pelajar di sekolah dan isu vaksinasi di peringkat sekolah menengah atau sekolah rendah yang belum diputuskan.

Katanya perkara lain yang akan diberi perhatian dalam mesyuarat berkenaan ialah isu sebilangan kecil guru yang tidak mahu divaksinasi dan isu berkaitan sektor peruncitan dan perniagaan.

Ditanya mengenai tinjauannya di pusat membeli-belah berkenaan, Muhyiddin berkata hampir semua peniaga yang ditemuinya menyatakan perniagaan mereka sudah mula meningkat walaupun premis mereka baru dibuka antara satu dan dua bulan.

“Saya percaya bila kita sudah mula buka perniagaan sebegini dengan bantuan yang telah diberikan dalam pakej rangsangan yang pelbagai maka aktiviti (ekonomi) akan meningkat. Ini penting untuk kita lihat proses pemulihan dapat berlangsung dengan licin dan lancar,” katanya.

- Bernama