ULASAN | MoU pada saat kerajaan tak kuat, pembangkang lemah
ULASAN | Saya tidak menolak adanya unsur altruisme dalam pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH jam lima petang semalam di Parlimen. Kita harap keihlasan mereka itu terserlah menjadi kenyataan.
Tetapi dari awal-awal lagi kita juga kena akui hakikat bahawa ia berlaku dalam suasana di mana kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob tidak kuat dan pembangkang pimpinan Anwar Ibrahim lemah.
Maka atas dasar itulah kita perlu menganalisis dan memberi nilai kepada MoU tersebut. Mula-mula sekali, kalau perjanjian ini boleh dilihat sebagai pergerakan ke arah bipartisme dengan tujuan mendamai dan mententeramkan politik negara, ia berlaku disebabkan kedua-dua belah pihak lemah.
Untuk nampak relevan dan berkesan, mereka "terpaksa" berpakat.
Perdana Menteri Ismail Sabri sedar bahawa kerajaan pintu belakang yang diwarisinya daripada ketua rampasan kuasa "Sheraton Move", Muhyiddin Yassin, lemah. Jadi dengan apa cara juga dia cuba mengelak daripada menghadapi undi di Parlimen walaupun banyak orang percaya dia boleh menang jika undi seperti itu diadakan.
Pembangkang pula telah hilang "steam" sesudah gagal dalam beberapa percubaan untuk merampas balik kerajaan daripada Muhyiddin sehingga sanggup berjinak-jinak dengan kluster mahkamah dan kleptokrat Umno.
Jelas kepemimpinan Anwar semakin kehilangan daya pacuan (traction) apabila "young Turks" dari parti sekutu, DAP melakukan percaturan luar kotak dengan Muhyiddin melalui saluran korporat.
Dua watak yang nampak kepada umum sebagai peneraju gerakan itu adalah Ahli Parlimen DAP bagi Damansara, Tony Pua Kiam Wee dan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming. Tetapi menurut sumber, turut menjadi penggerak kepada usaha itu adalah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan tokoh korporat serta tuan punya Kumpulan Media The Edge, Tong Kooi Ong.
Dalam keadaan tersepit kerana tahu dia sudah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat, Muhyiddin menerima cadangan kumpulan politik-korporat itu dan menawarkannya kepada Pembangkang sebagai "janji pilihan raya umum ke-15" pada 13 Ogos lalu.
Tetapi percubaan Muhyiddin itu sudah terlewat kerana menjelang waktu itu kluster mahkamah dan kleptokrat Umno pimpinan Ahmad Zahid Hamidi telah pun mengambil keputusan menarik balik sokongan kepadanya, manakala berapa orang ahli parlimen daripada PKR menyatakan kecurigaan.
Ironinya, apabila Ismail Sabri mencedok idea Muhyiddin itu dan menawarkannya semula sebagai "Transformasi dan Kestabilan Politik" ia disambut baik oleh pembangkang sehingga membawa kepada MoU hari ini.
Ia adalah cetusan helah Ismail Sabri mengelakkan undi percaya Parlimen serta mengurangkan pengaruh kluster mahkamah dan kleptokrat ke atas kerajaannya. Manakala di pihak pembangkang pula, atau lebih tepat PH, ia adalah pengakuan secara tersirat yang gabungan itu tidak mempunyai cukup undi untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri.
Namun begitu, harapan kita kepada MoU ini biarlah ia benar-benar akan membantu meredakan krisis politik, menambah baik usaha menangani Covid-19 dan mengembalikan keyakinan terhadap ekonomi negara yang merudum sejak rampasan kuasa Perikatan Nasional pada Februari tahun lalu.
A KADIR JASIN ialah tokoh wartawan veteran, bekas penasihat media Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri serta pernah menjadi anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Tulisan ini disiarkan kali pertama di media sosialnya dengan tajuk asal “MOU: Antara Altruisme dan Taktik Politik”. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai