Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada lagi gelembung pelancongan jika gagal di Langkawi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Hishammuddin Hussein berkata projek rintis gelembung pelancongan di destinasi yang lain tidak akan dibuka jika gagal di Langkawi, Kedah.

Jelasnya, antara kriteria utama yang menjadi penanda aras kejayaan projek rintis itu sama seperti kriteria peralihan ke fasa pelan pemulihan negara (PPN), iaitu kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU), jumlah jangkitan Covid-19 dan kadar vaksinasi.

“Kita tidak akan bukanya ke (destinasi) gelembung pelancongan yang lain,” katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita bahawa apa tindakan yang akan diambil sekiranya projek rintis di Langkawi gagal.

Pada 9 Sept, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestik dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pulau peranginan di utara tanah air yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan, terhad kepada individu yang lengkap dos vaksin Covid-19.

Oleh itu, kata Hishammuddin, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Nancy Shukri perlu membuktikan kejayaan di Langkawi supaya ia boleh diteruskan ke destinasi lain.

“Mesej saya kepada YB Nancy, buktikan yang (projek rintis) di Langkawi boleh dilakukan,” katanya pada sidang media khas menteri kanan pertahanan sempena Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 (SOP) di bilik media Parlimen hari ini.

Turut bersama dalam sidang media khas berkenaan merupakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Hishammuddin menambah, meskipun Langkawi mencatatkan peratusan vaksinasi melebihi 90 peratus, tetapi terdapat kelompok-kelompok tertentu yang perlu dipantau dan perlu diteliti.

Pada 12 September, Pulau Pangkor, Perak turut dijangka dibuka semula kepada pelancong yang lengkap divaksin pada 1 November.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata keputusan itu tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).