Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah Rayuan arah saman fitnah KPK terhadap Husam dibicara semula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan di Putrajaya menerima rayuan Senator Husam Musa berhubung saman fitnah terhadapnya oleh Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK), kata peguam bela Mohd Murtadza Mohd Mokhtar.

Murtadza berkata mahkamah memutuskan kes tersebut perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu selepas penghakiman yang dibuat pada 1 Oktober 2019.

Murtadza berkata, pihak pembelaan mengemukakan hujah bahawa keputusan yang dibuat sebelum ini secara tanpa perbicaraan dan saksi juga tidak dipanggil memberi keterangan.

Katanya, panel hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini terkhilaf apabila memberi penghakiman ke atas Husam semata-mata berdasarkan unless order.

"Apabila pihak kami dilantik sebagai peguam baru defendan (Husam) menggantikan peguam lama, kami memohon satu penangguhan pada hari bicara 1 Oktober 2019 kerana baru sahaja dilantik dan perlu untuk meneliti segala pliding dan dokumen berkaitan untuk memberi pembelaan terbaik kepada Datuk Husam.

"Namun Mahkamah Tinggi Kota Bharu tidak membenarkan penangguhan tersebut atas alasan telah ada unless order diberikan kepada peguam lama pada satu tarikh bicara sebelum ini.

"Susulan Mahkamah Tinggi telah membuat penghakiman terhadap anak guam kami tanpa perbicaraan berlangsung dan tanpa saksi-saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Sehubungan itu, tambah Mohd Murtadza, rayuan Husam itu dibenarkan dan kes ini diarahkan dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk didengari.

Permohonan rayuan Husam itu didengar di hadapan panel hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Kamaludin Md Said, M Gunalan dan Ahmad Zaidi Ibrahim.

Sebagai rekod pada 1 Oktober 2019 Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) berjaya dalam tuntutan saman ke atas Husam di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Susulan itu, pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarahkan Husam membayar ganti rugi tafsiran RM100,000 kepada KPK, syarikat milik kerajaan negeri yang terlibat dalam pembalakan dan pengilangan kayu.

Mahkamah sama juga menetapkan Husam membayar kos tindakan sebanyak RM110,933.92 terhadap penghakiman yang direkodkan terhadap dirinya pada 1 Okt 2019.

Pada 2017 Husam yang juga ketua Amanah Kota Bharu mendakwa KPK menceroboh tanah Orang Asli di Gua Musang.

Dia juga mendakwa KPK ditutup dan berlaku penyelewangan dalam syarikat terbabit.

Berikutan itu KPK memfailkan tindakan fitnah terhadap Husam kerana tanah yang didakwa diceroboh tersebut bukan dalam konsesi KPK, malah syarikat itu tidak pernah ditutup.

Lawan buli, kata Husam

Sementara itu Husam melalui satu hantaran di Facebooknya menyatakan rasa syukur susulan keputusan itu.

"Sekali lagi alhamdulillah. Ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan saya supaya saman fitnah oleh anak syarikat Kerajaan Negeri Kelantan - Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

"Saman ini belum berkesempatan dibicarakan sebelum ini," kata Husam.

Tambahnya, pihaknya berharap kebenaran akan terserlah dan hak rakyat Kelantan menikmati kekayaan bumi negeri itu.

"Semoga nasib stake holders termasuk Orang Asli terbela walaupun diri menjadi taruhan. Insya-Allah.

"Berdiri tegak menghadapi pembulian! atau 'Stand up for the bully!' - seperti pengajaran dari Memoir Rudy Giuliani, bekas Mayor New York," ujar Husam.