Skip to main
Logo Malaysiakini

Kemasukan fizikal ke IPT secara berperingkat mulai 15 Okt

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kemasukan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) secara fizikal ke kampus akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Okt ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini.

Beliau berkata ia melibatkan pelajar yang telah lengkap vaksinasi Covid-19, merangkumi semua kategori pelajar dan semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

Melalui proses kemasukan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT, Noraini berkata selain pelajar, hanya staf yang telah lengkap vaksinasi Covid-19 serta melepasi tempoh keberkesanan vaksin dibenarkan untuk berada di kampus.

“Keberadaan warga IPT yang telah lengkap divaksin akan membentuk komuniti sosial yang selamat serta mewujudkan persekitaran Fasa Empat PPN di dalam kampus.

"Jadinya, SOP ketat perlu diamalkan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk,” katanya pada sidang media secara maya melalui Facebook rasmi Kementerian Pengajian Tinggi hari ini.

Noraini berkata sebahagian besar daripada keseluruhan 1.2 juta pelajar IPT telah menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian melebihi tiga semester berturut-turut ekoran pandemik Covid-19 dengan aspek keselamatan dalam pengoperasian IPT amat dititikberatkan.

Beliau berkata keputusan kemasukan secara fizikal dibuat setelah mengambil kira input daripada sesi libat urus bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta pengurusan IPT merangkumi naib canselor, timbalan naib canselor, wakil persatuan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Majlis Perwakilan Pelajar serta kesatuan dan persatuan pelajar IPT.

Noraini dalam sidang media itu turut mengumumkan pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar warganegara di universiti awam bagi semester satu sesi 2021/2022, yang bakal memanfaatkan 555,340 pelajar melibatkan RM175 juta.

Mengenai pergerakan pelajar kembali ke kampus, Noraini berkata proses kemasukan berperingkat itu adalah mengikut kalendar akademik IPT dan pihak IPT perlu membuat perancangan teliti untuk mengenal pasti pelajar, menentukan jadual pergerakan dan memastikan warga IPT melalui proses saringan kesihatan yang ketat.

Bagi pelajar IPT di Semenanjung, katanya, mereka hanya perlu mendapatkan surat kebenaran kembali ke kampus daripada IPT masing-masing, manakala pelajar IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan pula adalah tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan negeri terbabit.

Pelajar IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan itu perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah atau negeri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain perlu menjalani ujian RT-PCR bagi pengesanan Covid-19 secara percuma di klinik kesihatan kerajaan berhampiran.

Noraini berkata IPT perlu menyediakan pusat pengasingan di IPT masing-masing bagi menguruskan kes bergejala atau jangkitan selain menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 kepada pelajar yang kembali ke kampus.

Bagi pelajar antarabangsa pula, Noraini berkata kebenaran masuk ke Malaysia diberikan bagi tiga kategori iaitu pelajar United Kingdom yang sebelum ini disekat kemasukannya; pelajar yang mengikuti program Mobiliti dan Edutourism serta tanggungan yang sah bagi pelajar antarabangsa yang berhasrat membawa keluarga bersama ke Malaysia.

Beliau berkata pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksinasi Covid-19 perlu mendaftar dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) sebelum dibenarkan masuk ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen (JIM).

“Ujian saringan RT-PCR Covid-19 perlu dijalankan tiga hari sebelum masuk ke Malaysia. Setibanya di Malaysia, pelajar akan menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di lokasi yang ditetapkan,” katanya.

Noraini berkata pelajar boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang beroperasi 24 jam setiap hari atau melayari laman sesawang rasmi KPT untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai proses kemasukan ke kampus.

“Pelajar-pelajar yang mempunyai masalah untuk kembali ke kampus, termasuklah berkaitan pengangkutan, bolehlah menghubungi pegawai penyelaras IPT masing-masing,” katanya.

Mengenai kaedah PdP IPT, Noraini berkata kaedah PdP akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan SOP yang diluluskan MKN.

Bagi kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian pula, beliau berkata pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP secara dalam talian di lokaliti masing-masing.

Lengkap vaksinasi hujung Okt

"Aktiviti-aktiviti melibatkan makmal, bengkel, studio dan penyelidikan boleh dijalankan secara berkumpulan, berpandukan SOP yang ditetapkan," katanya.

Menyentuh mengenai vaksinasi warga IPT, Noraini berkata KPT mengunjurkan 100 peratus kakitangan dan pelajar IPT yang berdaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 akan lengkap divaksinasi pada hujung Oktober ini.

Sehingga kini, katanya 66 peratus pelajar dan 90 peratus kakitangan IPT telah lengkap divaksinasi.

"Warga IPT boleh mendapatkan vaksin secara walk-in (tanpa janji temu) di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV). Pelajar dan kakitangan IPT hanya perlu bawa kad pelajar atau kad pekerja dan kad pengenalan atau pasport.

"Bagi pelajar baru, mereka perlu membawa surat tawaran kemasukan ke IPT berserta dengan kad pengenalan atau pasport," katanya.

- Bernama