Skip to main
Logo Malaysiakini

AGC pertimbang nyah jenayah cubaan bunuh diri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pejabat Peguam Negara (AGC) sedang menimbang cadangan untuk tidak lagi menjadikan percubaan membunuh diri sebagai jenayah.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu percubaan membunuh diri menjadi lebih meruncing pada masa ini kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu, menjadikan ramai kehilangan sumber pendapatan atau hilang pekerjaan.

Katanya, keputusan itu setelah kerajaan meneliti undang-undang berkenaan perkara itu di beberapa buah negara.

"Berdasarkan hasil kajian perbandingan peruntukan undang-undang mengenai percubaan untuk membunuh diri di United Kingdom, New Zealand, India dan Singapura, didapati negara-negara tersebut telah mengeluarkan percubaan membunuh diri daripada sistem keadilan jenayah dan memasukkan orang yang membuat percubaan membunuh diri ke dalam sistem rawatan kesihatan.

"Oleh itu, berdasarkan perkembangan undang-undang berkaitan di negara yang dikaji, AGC sedang menimbang cadangan daripada pihak berkepentingan untuk mengeluarkan percubaan membunuh diri daripada sistem keadilan jenayah.

"(Pertimbangan juga untuk) memasukkan orang yang membuat percubaan membunuh diri ke dalam sistem rawatan kesihatan bagi mendapatkan rawatan yang sewajarnya," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Ismail menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual yang memintanya menyatakan perkembangan terbaru mengenai undang-undang untuk tidak menjadikan cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah di bawah Akta Kanun Keseksaan, bila ia akan dibentang dan berapa dakwaan yang telah dibuat sejak 2018.

Ismail bagaimanapun tidak menyatakan bilakah perkara itu akan dibentangkan di Parlimen.

Dalam pada itu, dia berkata kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula undang-undang itu memandangkan insiden percubaan membunuh diri semakin meningkat sejak 2015, dan melibatkan pelbagai peringkat umur.

"Isu percubaan membunuh diri menjadi lebih meruncing pada masa ini kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu menjadikan ramai kehilangan sumber pendapatan atau hilang pekerjaan.

"Oleh yang demikian, pendekatan yang lebih holistik perlu diambil untuk mengekang perbuatan tersebut," katanya lagi.

Menurut Ismail, terdapat 902 kes percubaan membunuh diri sejak 2018 hingga Jun 2021 dengan 261 kes telah didakwa pada 2018, 243 ke (2019), 223 kes (2020) dan 175 kes (Januari-Jun 2021).

Pelbagai pihak sekian lama menggesa agar perkara itu tidak lagi dianggap sebagai jenayah.

Bagi mereka, individu yang berbuat demikian sepatutnya menerima rawatan kesihatan mental, bukannya hukuman yang akan meningkatkan lagi stigma terhadap mangsa.

Kementerian Kesihatan sebelum ini menyokong gesaan itu, dengan menterinya Khairy Jamaluddin dan ketua pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah membangkitkan isu kesihatan mental.

Sekiranya anda merasa tertekan atau mengenali seseorang yang mahu membunuh diri, talian hotline berikut boleh dihubungi:

Talian Kasih

Talian Hotline: 15999

Befrienders

Talian Hotline: 03-76272929

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

Talian Hotline: 03-77855955 atau 03-77810800

Life Line Association Malaysia

Talian Hotline: 03-42657995