Khairy ulang komitmen benarkan doktor kontrak mohon biasiswa sarjana
PARLIMEN | Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengulang kembali komitmen kerajaan untuk membenarkan doktor kontrak memohon Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).
HLP adalah biasiswa penuh daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk doktor melanjutkan pengajian peringkat sarjana bagi pengkhususan di universiti tempatan.
Menurut Khairy, sebelum ini doktor kontrak hanya boleh memohon program "parallel pathway" manakala HLP hanya untuk mereka yang berjawatan tetap.
"Antara penyelesaian yang ditunggu (oleh doktor kontrak) adalah peluang untuk dapat tajaan HLP agar mereka dapat lanjut pengajian ke peringkat sarjana.
"Sekarang, ia hanya diberikan kepada pegawai tetap...Tetapi kita ingin beeri kemudahan sama kepada mereka (doktor kontrak) bagi membolehkan mereka mengikuti pengajian kepakaran di universiti tempatan.
"Ini untuk masa depan mereka dan saya rasa ini adalah perkara yang telah mereka tuntut dan nantikan," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Khairy menjawab soalan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) berkenaan rancangan KKM untuk menjamin masa depan doktor kontrak.
Katanya lagi, jawatankuasa khas telah ditubuhkan pada 20 Ogos lalu untuk melihat perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menyelesaikan isu doktor kontrak.
Jawatankuasa itu antara lain akan menumpukan soal permohonan peruntukan kepada Kementerian Kewangan untuk HLP, mewujudkan lebih banyak jawatan tetap dan memeriksa strategi untuk meningkatkan peluang pekerjaan dalam sektor kesihatan awam.
Isu doktor kontrak mula menjadi perhatian apabila kumpulan itu menganjurkan protes di seluruh negara pada Julai lalu. Mereka antara lain menggesa keselamatan pekerjaan yang lebih baik.
Sebelum itu, Khairy menjelaskan sistem doktor kontrak bermula pada 2016 apabila terdapat peningkatan graduan perubatan dan tiada jawatan tetap yang cukup dalam sistem kesihatan awam.
Dia kemudian menjawab isu yang dibangkitkan Rusnah berhubung masa menunggu yang lama untuk temu janji dengan pakar, di saat kebanjiran graduan perubatan.
"Sebenarnya kita tidak kekurangan doktor siswazah tetapi apa yang kita perlukan adalah pakar," kata Khairy.
Katanya, pada masa ini terdapat 13,000 doktor pakar dalam sektor awam dan swasta, tetapi seramai 28,000 pakar diperlukan menjelang 2030.
"Kementerian Kewangan harus beri komitmen supaya kita dapat melatih doktor untuk menjadi pakar bagi memenuhi keperluan 10 tahun akan datang, yang mana beban penyakit akan meningkat disebabkan masyarakat yang semakin menua di Malaysia dan insiden penyakit tak berjangkit(non-communicable disease, NCD) yang semakin tinggi," katanya lagi.
Antara contoh NSD adalah penyakit jantung, strok, kencing manis dan kanser.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai