Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelancong dimestikan jalani saringan sebelum ke Langkawi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan pelancong yang ingin melakukan perjalanan ke Langkawi agar menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas ke destinasi peranginan itu.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, projek rintis gelembung pelancongan domestik itu perlu dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baru.

"Atas sebab itulah kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi sudah menerima vaksinlengkap, bukan kes positif Covid-19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif.

"Sehubungan itu kerajaan telah memutuskan untuk mewajibkan kepada setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula 16 Sept agar menjalani ujian pengesanan Covid-19," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Khairy, ujian saringan itu boleh dibuat melalui kaedah RT-PCR atau RTK-Antigent di mana-mana fasiliti kesihatan atau makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Mereka, katanya, perlu mempamerkan keputusan ujian berkenaan kepada pihak yang berkenaan di lapangan terbang atah terminal feri.

Selain itu tambah Khairy, mereka juga boleh membeli kit ujian kendiri dan melakukan ujian pengesanan di tempat yang disediakan di lapangan terbang atau terminal feri sebelum berlepas ke Pulau Mahsuri itu.

Kit tersebut juga katanya boleh dibeli melalui perkhidmatan swasta di lokasi pelepasan tersebut.

"Ujian pengesanan ini akan dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak (7 hingga 17 tahun).

"Bagi kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah hanya saringan gejala yang akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

"Kumpulan kanak-kanak ini mestilah bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi, bukan positif Covid-19 atau kontak rapat kes positif dan hendaklah mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan," kata Khairy.

Tegasnya lagi, pelaksanaan gelembung pelancongan itu tidak bermakna kerajaan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk tidak mengamalkan langkah keselamatan kendiri seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap.

"Semua amalan ini kelihatan mudah tetapi ia mampu melindungi kita daripada jangkitan virus Covid-19 dan mencegah daripada berlakunya penularan jangkitan kepada individu lain.

"Saya juga ingin tegaskan bahawa kejayaan membawa negara keluar daripada pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan tetapi juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat terhadap SOP.

"Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali teruk," kata anggota Parlimen Rembau itu.