Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ: 14 peratus petugas barisan hadapan KKM alami gangguan mental teruk

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Kajian oleh Institut Perubahan Tingkahlaku Malaysia (IPTK) tahun lalu telah menunjukkan sejumlah 14.2 peratus petugas barisan hadapan kesihatan menderita gangguan mental yang teruk.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan demikian dalam jawapan parlimen hari ini.

"Sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia telah melakukan dua kajian dan pemantauan indikator berkaitan dengan isu dan permasalah kesihatan mental di kalangan masyarakat.

"Kajian yang dijalankan oleh Institut Perubahan Tingkahlaku Malaysia (IPTK) pada tahun 2020 mendapati bahawa 14.2 peratus petugas barisan hadapan KKM mengalami gangguan kesihatan mental yang teruk (severe mental disorders)," katanya menjawab soalan Hasan Bahrom (PH-Tampin).

Kekurangan sokongan penjagaan anak–anak di rumah semasa tempoh menjalankan tugas, kata Khairy antara faktor menyumbang kepada kesihatan mental ibu bapa petugas kesihatan berkenaan.

Terdahulu, Hasan bertanya apakah terdapat kajian menyeluruh daripada kementerian berhubung kait dengan masalah kesihatan mental, jiwa dan tekanan hidup masyarakat bandar dan luar bandar ketika pandemik.

Pekerja penjagaan kesihatan itu dikatakan tidak hanya berhadapan keterbatasan fizikal mereka selama pandemik, tetapi mereka dilaporkan mengalami keletihan serta mengalami masalah kemurungan, emosi dan kesihatan rohani.

Pada bulan Jun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesan pandemik Covid-19 telah menyebabkan tekanan emosi yang ketara di kalangan pekerja kesihatan.

Memetik kajian yang melibatkan 893 pekerja penjagaan kesihatan, Noor Hisham berkata kajian itu mendapati sejumlah 53.8 peratus petugas barisan hadapan perubatan menderita keletihan.

Sementara itu, Khairy berkata KKM akan melakukan kajian yang lebih komprehensif mengenai kesan psikososial di kalangan rakyat Malaysia pada akhir September.

Ini selepas analisis sebelum ini mendapati sebanyak 82.1 peratus yang menghubungi talian bantuan "memerlukan sokongan emosi dan kaunseling yang melibatkan isu sosial seperti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga, masalah hubungan interpersonal, stigma terhadap jangkitan, isolasi dan kurang akses kepada perkhidmatan bantuan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan."

Dr Noor Hisham juga menimbulkan keprihatinan mengenai bagaimana pandemik itu mempengaruhi kesihatan mental rakyat Malaysia.

"Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya berisiko untuk tingkah laku bunuh diri.

"Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri (suicidal ideation), rancangan bunuh diri (suicidal plan), cubaan bunuh diri (suicide attempt) dan kematian akibat tindakan bunuh diri," katanya pada 10 September bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.