Polis tahan lelaki ugut simbah asid pada isteri yang minta cerai
Gara-gara mengugut untuk menyimbah isterinya dengan asid kerana isu rumah tangga, seorang lelaki ditahan polis di Kubang Kerian, Kota Bharu hari ini.
Tidak cukup dengan itu lelaki terbabit juga dikatakan mengugut untuk mencederakan anak-anak mereka.
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata suspek ditahan kira-kira jam 5 pagi tadi setelah beberapa usaha menjejaknya dijalankan pihak berkuasa ekoran aduan yang diterima pada 4 Sept lalu.
Katanya wanita terbabit membuat laporan kepada polis selepas berasa bimbang keselamatan diri dan anak-anaknya terancam.
"Semasa mangsa bersama ibunya berada di kedai runcit kepunyaan mereka di Pasir Tumboh, Kota Bharu pada 4 Sept lalu, suspek datang dan mengugut untuk mencederakan mangsa dan anak-anak dengan cara menyimbah asid.
"Suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa yang minta cerai," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis Bachok, hari ini.
Menurut Shafien, sebelum ini ibu kepada mangsa terbabit sudah membuat laporan polis kerana suspek menceroboh masuk ke rumah wanita berkenaan.
Ekoran aduan ibu mangsa ketika itu, kata Shafien, lelaki berkenaan ditangkap dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan pada 28 Jun lalu.
"Suspek mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan atau denda RM1,000. Dia memilih untuk membayar denda tersebut," katanya.
Tambah Shafien, hasil tangkapan terbaru hari ini, lelaki berkenaan - yang mempunyai dua rekod jenayah - akan dikenakan tahanan reman.
"Kes kali ini ini akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," ujarnya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai