Skip to main
Logo Malaysiakini

Suami isteri ditahan disyaki tanam ganja, edar dadah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis menahan sepasang suami isteri selepas dipercayai menanam pokok ganja dan menjalankan aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Ayer Hitam, di George Town semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 38 tahun pada 1.30 pagi di perkarangan kondominium itu dan merampas dua peket plastik disyaki berisi syabu seberat 12.61 gram dan sepeket plastik disyaki berisi ganja seberat 4.2 gram yang kesemuanya bernilai RM1,461.

"Polis kemudian menyerbu unit kondominium didiami lelaki itu lalu menahan isterinya yang berusia 36 tahun dan merampas 13 peket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki ganja seberat 163 gram bernilai RM8,150 serta peralatan menghisap dadah di ruang tamu rumah itu.

"Pemeriksaan lanjut di kawasan balkoni menemukan dua pokok ganja setinggi 19 sentimeter (sm) dan 40 sm di dalam pasu berasingan yang dianggarkan bernilai RM1,180 dan dipercayai ditanam sejak lima bulan lepas," katanya pada sidang akhbar di George Town hari ini.

Soffian berkata siasatan mempercayai lelaki yang bekerja sebagai pengurus sebuah stesen minyak dan isterinya yang merupakan kerani di tempat sama itu menanam sendiri pokok ganja tersebut dengan menyemai biji benih daripada ganja kering yang dibeli mereka.

Beliau berkata hasil soal siasat, lelaki itu mengaku sekadar cuba menanam pokok itu dan ia hidup subur serta dijaga baik oleh mereka.

Katanya polis turut merampas baja yang dipercayai digunakan terhadap pokok ganja itu selain menyita sebuah kereta Proton Exora dan wang tunai berjumlah RM10,000.

"Lelaki itu mengaku menanam pokok ganja itu untuk kegunaan sendiri dan polis sedang menyiasat lanjut mengenai kegiatan pengedaran dadah dijalankan suami isteri tersebut. Ujian air kencing mendapati lelaki itu positif terhadap dadah namun dia dan isterinya tidak memiliki rekod jenayah lampau," katanya.

Soffian berkata pasangan itu direman hingga 19 Sept ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 6B, Seksyen 15(1)(a), Seksyen 39A(2) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama