Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes kematian Covid-19 (16 Sept): 422 lagi korban, jumlah kini lebih 22,000

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Data Kementerian Kesihatan (KKM) di laman Github melaporkan sejumlah 422 kes kematian akibat Covid-19 semalam (15 Sept), menjadikan angka korban setakat ini seramai 22,009.

Ini merupakan angka kematian harian dilaporkan yang ketiga tertinggi.

Daripada jumlah itu, 92 mangsa (21.8 peratus) meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

Sejumlah 195 daripada 422 kematian yang dilaporkan berlaku dalam masa tujuh hari yang lalu. Lima pesakit meninggal dunia semalam.

Bakinya berlaku lebih seminggu lalu dan baru dilaporkan ekoran tunggakan data.

Purata kematian harian yang dilaporkan bagi 30 hari terakhir adalah 308 kes. Purata tujuh hari adalah 407 kes.

Selangor mencatatkan angka kematian baru tertinggi dengan 116 kes, merangkumi 27.49 peratus daripada kes kematian baru.

Ia disusuli dengan Kedah (79), Sabah (71), Johor (46), Pulau Pinang (37), Perak (21), Kelantan (16), Kuala Lumpur (11), Pahang (10), Sarawak (5), Perlis (4), Terengganu (4) dan Melaka (2).

Tiada kes kematian baru dilaporkan di Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya.

Setakat semalam, terdapat 225,590 kes aktif Covid-19 - berkurang sebanyak 9.28 peratus berbanding 248,676 kes seminggu sebelumnya.

Sebelum ini, KKM melaporkan statistik kematian bersekali dengan kes baru pada setiap petang.

Kes kematian kini dilaporkan pada tengah malam. Malaysiakini akan melaporkannya pada pagi sehari kemudian.