Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes saman Utusan: Mahkamah dengar rayuan Lim 28 Oktober

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Oktober untuk mendengar rayuan Lim Guan Eng mengenai kuantum ganti rugi yang perlu dibayar oleh Utusan Melayu (M) Bhd kepada bekas Menteri Kewangan itu dalam saman fitnahnya.

Tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes itu hari ini melalui e-Review.

Terdahulu hari ini, kes itu disebut di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada hakim Lee Swee Seng, Indera Mohd Sofian Abd Razak dan Mariana Yahya.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, peguam Felix Lim memberitahu panel hakim bahawa anak guamnya (Guan Eng) mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 15 Ogos tahun ini untuk meneruskan rayuan terhadap Utusan Melayu yang diletakkan di bawah pembubaran sukarela pemiutang.

“Justeru kami memohon arahan selanjutnya daripada mahkamah berhubung rayuan ini,” katanya.

Hakim Lee juga membenarkan permohonan Guan Eng untuk meminda notis rayuannya selepas peguam Emily Wong dan Siti Nur Amirah Aqilah Adzman yang mewakili Utusan Melayu dan bekas Pengarang Rencana dan Analisis syarikat akhbar itu Zulkifli Jalil, masing-masing tidak membantah permohonan itu.

Hakim Lee kemudiannya menghantar kes itu untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran rayuan tersebut.

Pada 27 Sept 2018, Utusan Melayu dan Zulkifli bersetuju untuk menyelesaikan saman fitnah itu dengan Guan Eng dan syarikat akhbar tersebut menerusi Zulkifli telah membuat permohonan maaf kepadanya di mahkamah terbuka.

Permohonan maaf itu adalah sebahagian daripada penghakiman persetujuan dalam saman fitnah Lim terhadap Utusan Melayu dan Zulkifli. Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, Utusan Melayu juga dikehendaki menerbitkan permohonan maaf di akhbarnya.

Pada 24 Nov 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan RM30,000 sebagai kuantum ganti rugi yang perlu dibayar oleh Utusan Melayu dalam saman fitnah berhubung penerbitan artikel fitnah dakwaan berkaitan isu tanah wakaf.

Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap Utusan Melayu dan Zulkifli berhubung artikel bertajuk ‘Pengundi Atas Pagar Jadi Penentu?’ yang diterbitkan pada 10 April 2015.

-Bernama