Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Negara pertama di dunia vaksin kanak-kanak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kempen vaksinasi kumpulan berusia dua hingga 11 tahun giat dilancarkan di Cuba sejak awal bulan ini bagi melawan virus Covid-19.

Negara itu menggunakan dua vaksin tempatan yang dihasilkan sendiri, namun belum diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Berikutan itu, Cuba menjadi negara pertama di dunia yang memberi vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lebih dua tahun, sementara Chile bersetuju pada Isnin untuk vaksinasi kanak-kanak antara enam hingga 12 tahun dengan Sinovac dari China.

Negara Cuba yang berjumlah 11.2 juta penduduk itu disarankan oleh kerajaannya untuk melakukan vaksinasi kepada semua anak sebelum pembukaan sekolah, yang ditutup sejak Mac 2020.

Tahun persekolahan baru bakal bermula di Cuba. Setakat ini, pelajar masih mengikuti pembelajaran melalui program televisyen pendidikan berikutan perkhidmatan Internet tidak menyeluruh di kebanyakan rumah.

Setelah menyelesaikan beberapa ujian klinikal ke atas kanak-kanak di bawah umur menggunakan vaksin Abdala dan Soberana, Cuba memulakan kempennya untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak bermula pada Jumaat ini.

Banyak negara lain di dunia memberi vaksin kepada kanak-kanak berusia lebih 12 tahun, sementara beberapa negara melakukan ujian klinikal ke atas kanak-kanak yang lebih muda.

Walaupun negara-negara seperti China, UAE dan Venezuela mengumumkan hasrat mereka untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak, Cuba adalah negara pertama di dunia yang benar-benar mengambil langkah seperti itu.

Namun, vaksin Cuba yang pertama dikembangkan di Amerika Latin itu belum menjadi subjek kajian saintifik antarabangsa.

Vaksin Cuba dihasilkan melalui teknologi protein rekombinan, teknologi yang sama digunakan dalam vaksin Novavax Amerika Syarikat dan Sanofi Perancis yang sedang menunggu persetujuan WHO.

Tidak seperti banyak vaksin lain yang digunakan untuk melawan Covid-19, vaksin hasil teknologi rekombinan ini tidak memerlukan penyejukan.

Sebilangan besar sekolah di Cuba ditutup sejak Mac 2020, dan dibuka semula selama beberapa minggu pada akhir tahun lalu sebelum dibuka semula pada bulan Januari.

Kerajaan Cuba mengumumkan bahawa mereka akan membuka sekolah secara beransur-ansur pada bulan Oktober dan November, tetapi hanya setelah semua anak-anak diberi vaksin.

Cegah penyakit dan kematian yang teruk

Setelah WHO mengumumkan bahawa wabak itu akan berakhir ketika seluruh dunia memberikan vaksin minimum 70 peratus daripada populasi dunia, Pengarah WHO di Eropah, Hans Kluge menarik kembali kata-katanya dengan menyatakan bahawa varian baru sangat menular hingga mengubah data sebelumnya terutamanya varian Delta.

"Objektif utama vaksinasi adalah untuk mencegah bentuk penyakit dan kematian yang teruk,” ujar Kluge.

Dalam pada itu, beliau menunjukkan pesimis terhadap kemampuan vaksinasi yang kuat sahaja untuk menghentikan penyebaran wabak Covid-19, kerana munculnya varian baharu yang mengurangkan kemungkinan pembentukan imuniti badan.

“Walaupun mutan Delta yang pertama kali ditemukan di India tersebar luas pada masa itu,” jelas Kluge sambil menambah bahawa ketika membuat pernyataan itu beberapa bulan yang lalu, tidak ada varian baru yang muncul.

Sebelumnya, WHO telah mengesahkan pada bulan Mei bahawa wabak itu akan berakhir ketika dunia akan melakukan vaksinasi sekurang-kurangnya 70 peratus dari populasi dunia.

"Jadi saya rasa ini membawa kita ke titik bahawa tujuan utama vaksinasi adalah untuk mencegah penyakit dan kematian yang teruk," tambah Kluge.

Menurutnya lagi, Covid-19 akan terus bermutasi dan akan ada gejala seperti demam.

“Jadi kami harus proaktif bagaimana menyesuaikan strategi dengan penularan jangkitan kronik dan mencapai pengetahuan yang sangat tepat mengenai kesan dos tambahan.”

Beliau menyatakan kemungkinan akan meningkatnya kes penyakit ini dan ia akan berleluasa dalam jangka masa panjang tanpa dapat membasmi secara menyeluruh.

Dalam sidang media yang diadakan, Kluge menyarankan tentang dos tambahan.

Beliau menekankan bahawa setiap negara perlu berusaha mencapai tahap vaksinasi yang tinggi kerana ia sangat penting untuk mengawal tekanan pada sistem kesihatan tubuh dan ia sangat diperlukan bagi merawat penyakit lain yang berbeza daripada Covid-19.

Menurut ahli epidemiologi, pembentukan imuniti kumpulan hanya melalui vaksin telah menjadi prospek yang jauh, tetapi vaksinasi masih penting untuk membendung wabak yang menular ini.

Dalam pada itu, pada akhir Ogos lalu, WHO mengeluarkan kenyataan bahawa kemungkinan akan berlaku kematian mencecah 236,000 akibat Covid-19 di Eropah menjelang 1 Disember ini.

Badan kesihatan dunia itu seterusnya menzahirkan kebimbangan terhadap kadar vaksinasi yang tidak stabil serta suntikan yang rendah di beberapa negara miskin.

Dos ketiga tidak diperlukan?

Vaksin dos ketiga yang dikenali sebagai dos penggalak mula diberikan kepada penduduk di beberapa negara.

Para pakar WHO serta The United States Food and Drug Administration (FDA) mengatakan bahawa memberikan dos penggalak kepada semua populasi pada masa ini tidak disarankan.

Pakar-pakar ini menulis dalam jurnal perubatan Britain, The Lancet:

“Jumlah vaksin yang terhad ini akan menyelamatkan beberapa nyawa manusia jika diberikan kepada orang-orang yang dianggap berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 yang belum menerima vaksin.”

Kumpulan pakar antarabangsa ini menjelaskan:

"Data semasa tidak menunjukkan perlunya dos tambahan untuk populasi umum yang mana keberkesanan vaksin tetap tinggi dalam peringkatnya terhadap bentuk yang paling bahaya.”

Ini berikutan terdapat beberapa negara mula memberikan saranan itu kepada beberapa kelompok masyarakat termasuk orang tua, mereka yang telah enam bulan menerima vaksin dan mereka yang mempunyai imuniti badan yang lemah.

Namun, negara-negara ini menunjukkan penurunan keberkesanan vaksin ini terhadap varian Delta. Beberapa negara telah melangkah lebih jauh atau sedang mempertimbangkan kemungkinan ini.

Di Israel, dos penggalak ini tersedia untuk yang berusia 12 tahun dan lima bulan setelah divaksinasi. Dalam pada itu, Amerika Syarikat akan memulakan kempen vaksinasi penggalak pada 20 September bermula dengan golongan warga tua.

Namun, WHO telah beberapa kali menyatakan penolakannya terhadap prinsip dos penggalak bagi seluruh penduduk, yang dianggapnya sebagai langkah yang tidak mempunyai asas saintifik dan tidak adil bagi negara-negara miskin.

Pakar dalam The Lancet merasakan bahawa walaupun bahagian antibodi antara vaksin menurun, ini tidak bermaksud bahawa vaksin kurang efektif dalam menghadapi bentuk penyakit yang berbahaya.

Mereka menekankan bahawa aspek lain daripada tindak balas imun yang dikenali sebagai imuniti selular memulakan kerjanya, tetapi tidak dapat diukur dengan mudah.

Di samping itu, para pakar berpandangan bahawa lebih baik untuk melakukan peningkatan dos yang dirancang khusus untuk mengatasi varian yang mungkin muncul pada masa depan daripada memberikan dos tambahan vaksin yang ada.

Lebih 5.73 bilion dos vaksin global

Menurut data Universiti Johns Hopkins, lebih 5.73 bilion dos vaksin Covid-19 sudah didaftarkan atau disuntik di seluruh dunia sehingga Selasa dan China mendahului dengan lebih 2.14 bilion dos vaksin yang sudah direkodkan.

Seterusnya, ia diikuti India sebanyak 758 juta dos manakala Amerika Syarikat dengan lebih 379 juta dos vaksin.

Brazil mencatatkan lebih 212 juta dos dan Jepun serta Jerman masing-masing 145 juta dan 104 juta dos vaksin, manakala Turki dan United Kingdom masing-masing melebihi 90 juta dos.

Di Asia Tenggara, Indonesia mendahului dengan jumlah dos yang didaftarkan sebanyak 116 juta dos diikuti Thailand 40.2 juta. Malaysia dan Filipina dengan lebih 39 juta dos vaksin, sementara Singapura dengan 9 juta dos vaksin.


ATRIZA UMAR berkhidmat sebagai pegawai penyiaran dan komunikasi, Pertubuhan Ikram Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.