Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Azizah gesa undang-undang cubaan bunuh diri dimansuh pada sidang seterusnya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Pandan Dr Wan Azizah Wan Ismail menggea kerajaan meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan - berhubung percubaan bunuh diri - pada sidang Dewan Rakyat seterusnya, yang akan bermula 25 Oktober.

Pemimpin PKR itu mengalu-alukan usaha kerajaan untuk tidak lagi menjadikan percubaan bunuh diri sebagai jenayah dan berharap ia dapat dilakukan secepat mungkin.

"Pertama ialah kerana kes penyakit mental telah menjadi semakin runcing pada waktu ini berikutan pandemik Covid-19 yang menyebabkan tekanan yang cukup besar kepada kehidupan rakyat secara amnya.

"Kedua ialah individu yang cuba membunuh diri sewajarnya tidak dihukum, sebaliknya mereka perlu diberi rawatan bagi mengatasi isu kecelaruan mental mereka, sesuai dengan strategi mencegah, memulih dan merawat.

"Sebab ketiga pula ialah cadangan ini telah pun dibincang lebih dua tahun lalu, dan diputuskan pada waktu itu supaya Jabatan Peguam Negara mengkaji cadangan untuk mengeluarkan cubaan bunuh diri daripada Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Wan Azizah, cadangan itu merupakan antara lima perkara utama yang diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikannya ketika menjadi timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat pada Jun 2019, bagi membincangkan isu kesejahteraan mental yang kian membimbangkan.

Mesyuarat itu juga memutuskan agar Oktober menjadi bulan kesedaran isu kesejahteraan mental.

"Bulan kesedaran Oktober ini boleh dijadikan sebagai satu platform bagi memperolehi input daripada pemegang taruh supaya Jabatan Peguam Negara boleh menyiapkan cadangan pindaan undang-undang berkaitan hal ini untuk dikemukakan semasa sidang penggal kelima Parlimen ke-14," katanya lagi.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata AGC sedang menimbang untuk nyah jenayah percubaan bunuh diri.

Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, individu yang cuba membunuh diri boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pelbagai pihak sekian lama menggesa agar perkara itu tidak lagi dianggap sebagai jenayah.

Bagi mereka, individu yang berbuat demikian sepatutnya menerima rawatan kesihatan mental, bukannya hukuman yang akan meningkatkan lagi stigma terhadap mangsa.

Kementerian Kesihatan sebelum ini menyokong gesaan itu, dengan menterinya Khairy Jamaluddin dan ketua pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah membangkitkan isu kesihatan mental.

Sekiranya anda merasa tertekan atau mengenali seseorang yang mahu membunuh diri, talian hotline berikut boleh dihubungi:

Talian Kasih

Talian Hotline: 15999

Befrienders

Talian Hotline: 03-76272929

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

Talian Hotline: 03-77855955 atau 03-77810800

Life Line Association Malaysia

Talian Hotline: 03-42657995