Lim: DAP perlu terajui pandangan awam tentang 'gencatan politik'
DAP perlu menerajui pandangan awam berhubung gencatan politik antara kerajaan dan PH, kata pemimpin veterannya Lim Kit Siang.
Kenyataan itu di tengah keraguan berhubung memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani PH dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
MoU itu antara lain menyaksikan gabungan itu tidak menghalang kerajaan dalam undi kritikal di Dewan Rakyat yang boleh membawa kesan terhadap survivalnya. Sebagai pertukaran, kerajaan akan mengusahakan sejumlah pembaharuan dan dasar yang sebelum ini dibawa PH.
"Pemimpin dan aktivis DAP perlu menerajui pandangan awam yang negara perlukan moratorium dan gencatan politik untuk 10 hingga 18 bulan seterusnya sehingga PRU15, agar kita boleh fokus kepada perang melawan Covid-19 dan memulihkan keadaan ekonomi dan sosial negara," katanya dalam kenyataan.
Menurut Lim, Ismail Sabri berisiko tewas dalam undi pertama di Parlimen jika MoU itu tidak dimeterai dan itu akan menjadikannya perdana menteri paling singkat memimpin negara.
"Tapi ini bukan waktunya untuk plot dan intrig politik, tetapi untuk bersatu padu dan kerjasama oleh semua warga, tanpa mengira kaum, agama atau politik untuk menamatkan gelombang Covid-19, yang telah menyebabkan lebih dua juta kes dan 22,000 kematian di Malaysia," katanya lagi.
Katanya lagi, jika Ismail Sabri disingkirkan, kemungkinan besar penggantinya tetap bukan daripada pembangkang atau calon pilihan mereka - Anwar Ibrahim.
Terdahulu, Anwar hanya mampu meraih sokongan 105 ahli parlimen berbanding Ismail Sabri yang disokong 114 ahli parlimen. Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah adalah satu-satunya wakil rakyat yang tidak memberikan sebarang sokongan.
Pada masa ini, terdapat 220 ahli parlimen dengan dua kerusi kosong di Dewan Rakyat.
Menyifatkan MoU tersebut sebagai dokumen paling penting selepas perangkaan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, Lim berkata ia tidak akan berlaku jika BN yang diketuai Umno masih dalam kedudukan hegemoninya.
Ia ditambah pula dengan wabak Covid-19 yang menjadi satu "ancaman eksistensial", katanya lagi.
Lim sekali lagi berkata yang pembangkang masih memiliki perbezaan yang kritikal dengan kerajaan terutama berkaitan demokrasi beperlembagaan, kedaulatan undang-undang, korupsi, hak asasi manusia, kesaksamaan dan kesatuan.
"Tetapi perbezaan itu boleh ditangguh dan perlu ditangguh di depan ancaman eksistensial wabak Covid-19.
"Persamaan kita sebagai warga Malaysia perlu mengambil tempat utama dan keutamaan bersama kita adalah untuk menang dalam perang melawan Covid-19 untuk menjamin masa depan yang selamat buat semua orang Malaysia.
"Ini malah menjadi ujian besar terhadap rasa cinta kepada negara dan rakyat Malaysia," katanya lagi.
Lim turut membangkitkan Malaysia yang berada di tempat ke-89 bagi jumlah keseluruhan kes Covid-19 pada sambutan hari Malaysia tahun lalu. Pada tahun ini, Malaysia di kedudukan ke-21.
Dia juga menyatakan kerisauan yang negara mungkin mencapai angka tiga juta untuk kes positif dan 30,000 korban pada bulan depan.
Setakat semalam, Malaysia telah mencatatkan 2,030,935 kes Covid-19 dengan 22,009 korban.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai