Skip to main
Logo Malaysiakini

Generasi muda berdepan lebih banyak diskriminasi di sekolah - Tinjauan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Generasi muda lebih terdedah dengan pengalaman yang dianggap sebagai diskriminasi di sekolah berbanding generasi lebih tua, menurut satu tinjauan.

Penemuan itu berdasarkan tinjauan ke atas 2,441 individu yang sudah tamat sekolah dan ditanyakan mengenai pengalaman mereka di sekolah.

Tinjauan oleh Sekolah Semua itu merupakan inisiatif untuk memerangi diskriminasi berdasarkan identiti di sekolah dan dilakukan menggunakan panel dalam talian Vase.ai.

Berdasarkan tinjauan itu, lebih ramai responden daripada kumpulan umur 18-30 tahun mengaku pernah mengalami diskriminasi berdasarkan identiti berbanding mereka dari kumpulan umur lebih tua.

Sejumlah 59 peratus responden daripada kumpulan umur 18-30 tahun mencatatkan pengalaman didikriminasi berbanding 45 peratus daripada kumpulan umur 31-45 tahun, dan 43 peratus daripada kumpulan umur 46 tahun.

Secara keseluruhan, kira-kira separuh (50 peratus) daripada responden pernah mengalami diskriminasi di sekolah.

Daripada jumlah itu, 36 peratus berkata mereka mengalami diskriminasi lisan, 21 peratus mengalami gangguan atau buli, dan 18 peratus dinafikan akses kepada peluang disebabkan identiti mereka.

Lebih ramai responden rakyat Malaysia berketurunan India melaporkan pengalaman diskriminasi berbanding kaum-kaum lain.

Tinjauan itu mendapati 60 peratus daripada responden orang India berkata mereka mengalami diskriminasi di sekolah berbanding 54 peratus daripada responden bumiputera lain, 51 peratus daripada responden Melayu dan 46 peratus daripada responden Cina.

Bagaimanapun, tinjauan itu mengakui pemahaman setiap responden terhadap diskriminasi mungkin berbeza.

Antara senario yang dikemukakan kepada responden termasuklah diskriminasi berdasarkan jantina, ketidakupayaan belajar, kaum dan serta layanan berat sebelah.

Majoriti besar responden bersetuju bahawa diperli kerana warna kulit merupakan satu bentuk diskriminasi, tetapi senario-senario lain menunjukkan maklum balas berbeza tentang sama ada senario itu dianggap sebagai diskriminasi atau pun tidak oleh responden.

Tinjauan lengkap, yang dilakukan antara 1 hingga 10 September, boleh didapati di sini.