Parkir 'green zone' untuk penghantar makanan, barangan di KL
Kementerian Wilayah Persekutuan akan mewujudkan kawasan khas Green Zone yang dikhususkan sebagai tempat letak motosikal bagi penghantar makanan atau barangan di 10 lokasi di sekitar Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata inisiatif ini dapat memudahkan serta mempercepatkan urusan golongan rider atau penghantar dalam urusan penghantaran makanan atau barangan.
"Kita sudah ada projek perintis kawasan Green Zone iaitu di menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kini boleh digunakan oleh golongan tersebut.
"Selain itu, saya juga sudah berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk melaksanakan projek ini secara segera di 10 kawasan lain yang dikenal pasti antaranya berhadapan Pavillion, Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Jalan Ampang dan Sunway Putra," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Santai Muafakat Bersama Masyarakat Majmuk Dalam Parlimen Jelebu Sempena Hari Malaysia 2021 di Jelebu hari ini.
Jalaluddin (gambar, atas) berkata pihaknya akan memperluas projek perintis itu di Putrajaya dan Labuan selain ia menjadi contoh kepada negeri-negeri lain untuk turut sama melaksanakan projek sedemikian.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu turut mendukung usaha kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
"Saya tidak fikir pelaksanaan Undi 18 adalah masalah besar sebaliknya memberi peluang kepada anak muda berusia 18 tahun memilih pemimpin mereka sendiri dengan membuat keputusan terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara," katanya.
Sementara itu, Jalaluddin turut melancarkan Aduan Waghih Jelebu melalui aplikasi WhatsApp di talian 017-2953550 bagi menyalurkan sebarang permasalahan atau cadangan melibatkan kebajikan masyarakat di Jelebu.
Katanya, program berkenaan melibatkan aktiviti konvoi berkenderaan sambil membawa 250 bakul makanan ke empat lokasi iaitu di Pekan Titi, Simpang Durian, Air Hitam, dan Pekan Pertang dengan membabitkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pertang dan Sungai Lui.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai