Skip to main
Logo Malaysiakini

Hisham digesa jelaskan pendirian mengenai Kertas Putih Pertahanan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas timbalan menteri pertahanan, Liew Chin Tong hari ini menggesa Hishammuddin Hussein menjelaskan pendirian mengenai Kertas Putih Pertahanan, yang telah diluluskan di parlimen pada tahun 2019.

Liew berkata, Hishammuddin dilihat tidak mempedulikan KPP dalam kenyataan media empat halamam mengenai hala tuju dasar Kementerian Pertahanan sekembalinya mengetuai kementerian terbabit.

"Saya dimaklumkan bahawa Hishammuddin tidak begitu berminat untuk meneruskan reformasi KKP. Jika ini benar, ia amat mengejutkan. Saya berharap beliau menjelaskan pendirian ini kepada rakyat," kata Liew dalam satu kenyataan.

Malaysiakini telah menghantar permintaan untuk mendapatkan respons daripada pejabat Hishammuddin.

Pada 2 Disember 2019, Menteri Pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu membentangkan KPP pertama Malaysia yang menggariskan matlamat strategik serta reformasi pertahanan negara yang diperlukan dalam tempoh 10 tahun.

Menurut Liew, KPP dirangka sebagai dokumen inklusif "keseluruhan kerajaan" yang diluluskan di parlimen secara dwipartisan.

"Rundingan meluas dilakukan dengan pelbagai pemegang taruh termasuk agensi-agensi kerajaan, kementerian-kementerian yang lain dan juga barisan pembangkang ketika itu," tambahnya.

Liew berkata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Ketua Pembangkang turut mengiktiraf KPP.

"Malah pada sidang media pertama beliau sebagai Menteri Pertahanan pada Mac 2020, beliau telah menzahirkan komitmen kepada rakyat dan Angkatan Tentera Malaysia untuk meneruskan reformasi keselamatan berdasarkan KPP.

"Hishammuddin perlu meneladani Ismail Sabri dengan menjadikan KPP sebagai objektif dasar merentasi parti yang tidak akan berubah walaupun berlaku pertukaran kerajaan atau menteri," jelasnya.

Untuk rekod, Hishammuddin pada hari yang sama KPP dibentangkan di parlimen  berkata ia tidak mempunyai fokus, tiada kesinambungan dan sekadar “wish list” (harapan).

“Pertamanya intipati KPP hanyalah versi ringkas apa yang telah dibentangkan sebelum ini oleh kita semasa BN memerintah dan mentadbir.

“Bezanya buku ikrar Kementerian Pertahanan pada ketika itu memperincikan pelbagai bentuk inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah enam teras Kementerian Pertahanan,” katanya ketika itu.