Skip to main
Logo Malaysiakini

'Ujian saringan Langkawi petanda baik untuk gelembung pelancongan baru'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kadar positif Covid-19 yang rendah dalam kalangan bakal pelancong ke Langkawi merupakan petanda baik untuk gelembung pelancongan yang baru dibuka.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seramai 2,546 orang telah menjalani ujian saringan sebelum berlepas ke pulau itu setakat tengah hari tadi, yang mana hanya lima orang (0.20 peratus) disahkan positif Covid-19.

Kesemua lima kes dikelaskan sebagai tidak bergejala dan telah diberikan perintah kuarantin di rumah selama 10 hari. Sementara itu, lima kontak rapat kepada kes-kes berkenaan tidak meneruskan perjalanan mereka ke Langkawi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menggambarkan kadar kes positif Covid-19 yang rendah itu sebagai “menakjubkan”.

“99.81 peratus (pelancong) adalah negatif dan sepatutnya terlindung daripada Covid-19. Itu sendiri merupakan petanda yang menggalakkan untuk satu lagi gelembung pelancongan (dibuka).

“Terima kasih kepada semua yang telah melengkapkan vaksinasi mereka dan selamat bercuti. Untuk sesiapa yang dijangkiti virus itu, (saya) ucapkan semoga cepat pulih,” katanya dalam satu ulasan kepada pihak media.

Berdasarkan jadual oleh KKM, tiga daripada kes positif itu dikesan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, satu kes dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan satu lagi dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Perkembangan itu selepas Langkawi dibuka sebagai projek rintis gelembung pelancongan domestik bermula hari ini.

https://i.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/09/96abb9afa0fb9e171f96d843471e42cd.png

Patuh SOP

Semalam, kerajaan memutuskan pelancong yang ingin bercuti ke Langkawi harus sama ada melakukan ujian RT-PCR atau ujian RTK-Ag Covid-19, dalam masa 48 jam sebelum ketibaan.

Mereka juga mestilah sudah divaksin penuh.

Untuk kanak-kanak, mereka yang berusia tujuh tahun ke atas juga tertakluk pada peraturan ujian berkenaan bagi membolehkan mereka berlepas ke Langkawi.

Kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah pula tidak perlu diuji, tetapi mesti menjalani saringan gejala sebelum berlepas.

Kanak-kanak yang bercuti mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi, bukan positif Covid-19 atau kontak rapat kes positif. 

Kerajaan baru sahaja mula memberikan vaksin Covid-19 kepada mereka yang berusia antara 12 hingga 17 tahun.

KKM menggesa semua pelancong untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan menjaga penjarakan fizikal.

“Sekiranya bergejala sama ada semasa tempoh melancong atau setelah pulang dari Pulau Langkawi, segeralah dapatkan rawatan awal atau lakukan ujian kendiri bagi membendung penularan Covid-19.

“Sekiranya kita mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan menjadi lebih teruk,” katanya.

Inisiatif gelembung pelancongan Langkawi bertujuan untuk memulihkan pelancongan domestik yang teruk terjejas akibat sekatan pergerakan bagi membendung wabak berkenaan.

Pada Jun lalu, kerajaan memulakan vaksinasi besar-besaran di Langkawi sebagai persediaan menjadikan pulau peranginan itu gelembung pelancongan yang siap menerima kedatangan pelancong.