Skip to main
Logo Malaysiakini

Negara vaksinasi tinggi digesa sumbang dos kepada negara memerlukan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

GLOBAL | Negara dengan kadar vaksinasi Covid-19 yang tinggi digesa menyumbangkan dos yang dimiliki mereka kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Gesaan itu dibuat oleh Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva dan pemimpin organisasi antarabangsa lain dalam kenyataan bersama semalam, menurut Reuters.

Mereka berkata tanpa tindakan segera, mustahil untuk mencapai kadar vaksinasi 40 peratus di semua negara dalam tahun ini.

Kata mereka, negara yang memiliki kadar vaksinasi tinggi secara keseluruhan telah membeli lebihan dua bilion dos vaksin Covid-19 daripada apa yang mereka perlukan.

Justeru, kata mereka, negara-negara ini perlu segera menukar jadual penghantaran jangka pendek mereka dengan program pengagihan global bagi mengurangkan jurang vaksinasi dengan negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Mereka juga menggesa negara-negara ini agar menunaikan ikrar sumbangan yang telah dibuat dan melepaskan syarikat vaksin daripada kontrak, agar dos-dos tersebut boleh diberikan kepada negara yang memerlukan.

Syarikat vaksin pula digesa untuk mengutamakan dan memenuhi kontrak dengan Covaz dan Avat - program pengagihan Afrika - dan menyatakan princian berkenaan jadual penghantaran mereka, kata kenyataan itu lagi seperti dipetik.

Jurang kadar vaksinasi antara negara maju dan membangun merupakan isu utama yang akan dibangkitkan ketika sidang kemuncak yang dianjurkan Amerika Syarikat sempena Perhimpunan Agung PBB pada minggu depan.

[Baca berita asal]