Pemuda rugi RM571,000 kerana janji manis individu mengaku kerabat
Seorang lelaki berumur 20-an mengalami kerugian sebanyak RM571,000 setelah terpengaruh dengan janji manis individu yang mengaku sebagai kerabat diraja di media sosial di Kota Bharu, Kelantan pada 31 Mei lalu.
Mangsa yang juga seorang peniaga dalam talian telah berkenalan dengan seorang individu bernama Tengku melalui aplikasi media sosial 'Grinder' pada 30 Mei 2021.
Ketua Polis Kelantan, CP Shafien Mamat berkata, sebaik sahaja berkenalan, suspek telah bertanyakan kepada mangsa mengenai barang kemas apabila mangsa menyatakan bahawa ibunya mempunyai banyak barang kemas.
"Individu bergelar Tengku tersebut telah meminta mangsa menyerahkan barangan kemas berkenaan untuk dilihatnya sebagai bukti kesetiaan dan kasih sayang kepadanya.
"Mangsa yang telah terpedaya telah membuat penghantaran secara dua peringkat iaitu pada 31 Mei lalu menggunakan khidmat teksi.
"Manakala penghantaran kedua dibuat pada 2 Jun lalu melalui khidmat Grab Car kepada pembantu peribadi suspek yang berada di Kota Bharu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambahnya, mangsa juga telah membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM 201,000 ke dalam dua akaun bank milik individu pihak ke tiga atasa alasan yang sama iaitu sebagai bukti kasih sayang terhadap suspek.
"Suspek juga menjanjikan trak pikap untuk diberikan kepada mangsa," kata Shafie.
Justeru, mangsa yang berasa telah tertipu kerana tidak pernah datang berjumpanya seperti yang dijanjikan serta tidak memulangkan barang kemas ibunya bernilai RM 370,000 bergegas membuat laporan polis pada 14 September lalu.
"Suspek juga terus memaksa mangsa untuk menyerahkan wang kepadanya termasuk mengugut untuk menyebarkan video bogel mangsa.
"Kes ini dalam siasatan polis kerana kesalahan menipu di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih sepuluh tahun dengan sebatan serta dikenakan denda," katanya.
Shafien juga mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada semasa berada di dalam talian.
"Masyarakat seharusnya tidak terpedaya dengan janji manis individu yang baru dikenali serta perlu lebih berhati-hati dengan sindiket ini supaya tidak menjadi mangsa seterusnya," tegasnya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai