Skip to main
Logo Malaysiakini

Usah tergesa-gesa bertindak ke atas guru enggan divaksin: i-Guru

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperhalusi setiap tindakan tatatertib yang bakal dikenakan kepada guru-guru yang enggan divaksinasi.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata pihak kementerian juga disarankan agar tidak tergesa-gesa dalam memgambil ketetapan berhubung perkara tersebut.

Katanya, perbincangan dan maklum balas dengan pihak yang berkaitan terutama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) penting agar tindakan yang bakal diambil mengikut lunas undang- undang dan tidak menzalimi penjawat awam sebagaimana Peraturan 4 : Peraturan -Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan /Tatatertib ) 1993.

"Buat masa ini kaedah motivasi, memujuk dan kaunseling serta sesi bersemuka dengan guru yang enggan vaksin adalah lebih sesuai dan praktikal.

"Ini kerana sebab penolakan vaksin ini pelbagai dan bilangan mereka adalah kecil serta tidak menjejaskan operasi sekolah. 

"Cuma yang dibimbangkan adalah aspek keselamatan dan kesihatan murid serta rakan guru lain terjamin selamat dan memastikan keyakinan ibu bapa untuk membawa anak-anak ke sekolah," katanya kepada Malaysiakini.

Mohd Azizee berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin baru-baru ini bahawa guru yang enggan divaksin bakal berdepan tindakan tatatertib.

Mohd Radzi sebelum ini dilaporkan berkata lebih 2,500 guru memilih untuk tidak menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ekoran daripada itu, Mohd Radzi berkata guru-guru yang enggan mengambil suntikan vaksin akan diasingkan daripada sesi pembelajaran di sekolah selain bakal diambil tindakan.

Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata pihaknya bersama dengan JPA sedang meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap guru-guru tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata keputusan untuk membenarkan guru berkenaan hadir ke sekolah atau tidak bergantung kepada pihak KPM.

"Jika dibenarkan hadir pastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan, mengetatkan SOP semasa bertugas dan mengenalpasti bentuk tugasan yang sesuai. Sebelum ini pun kita sudah ada pengalaman guru mengajar tanpa divaksin.

"Jadi sebenarnya kita boleh mengurus dan tiada masalah jika semua faham dan menjaga SOP," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang ketika dihubungi berkata pihaknya masih menunggu ketetapan yang bakal diambil KPM.

"Kita tunggu dulu apa tindakan yang boleh diambil, kemudian baru kita akan ulas," katanya ringkas kepada Malaysiakini.