Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M saran kurangkan kepadatan penumpang feri, kapal terbang ke Langkawi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad berpuas hati dengan gelembung pelancong di pulau itu, namun menyarankan agar pihak berkaitan mengurangkan kapasiti penumpang kapal terbang dan feri.

Sebaliknya, pengerusi Pejuang itu mencadangkan supaya pihak berkaitan memperbanyakkan jadual perjalanan ke pulau berkenaan supaya penumpang dalam pesawat ataupun feri tidak padat.

Bekas perdana menteri itu melahirkan kebimbangan berhubung keadaan penumpang yang duduk rapat antara satu lain sama ada dalam penerbangan mahupun feri akan menyebabkan berlaku penularan wabak Covid-19.

“Boleh kurangkan jumlah (penumpang) supaya tak duduk rapat-rapat, sama juga feri sekarang ini bawa penumpang penuh, sepatutnya kurang daripada kapasiti.

“Feri misalnya, kita boleh adakan lebih banyak trip, tetapi penumpang dikurangkan.

"Secara keseluruhan kita berpuas hati dengan gelembung pelancongan dilaksanakan di Langkawi ketika ini, namun perlu beberapa penambahbaikan," katanya dalam sidang media di Langkawi, hari ini.

Selepas sekian lama ditutup ekoran pandemik Covid-19, pulau pelancongan terkenal Langkawi kembali menerima kedatangan pelancong pada hari pertama gelembung pelancongan yang bermula 16 September lalu.

Dianggarkan 3,200 pelancong akan tiba di pulau itu menerusi tiga trip perjalanan feri dari Kuala Perlis dan 18 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Selain itu, kadar positif Covid-19 yang rendah dalam kalangan bakal pelancong ke Langkawi merupakan petanda baik untuk gelembung pelancongan yang baru dibuka.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seramai 2,546 orang telah menjalani ujian saringan sebelum berlepas ke pulau itu setakat tengah hari tadi, yang mana hanya lima orang (0.20 peratus) disahkan positif Covid-19.

Kesemua lima kes dikelaskan sebagai tidak bergejala dan telah diberikan perintah kuarantin di rumah selama 10 hari. Sementara itu, lima kontak rapat kepada kes-kes berkenaan tidak meneruskan perjalanan mereka ke Langkawi.

Dalam pada itu, Mahathir berharap agar penerbangan dari luar negara dibenarkan terbang terus ke Langkawi dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di pulau itu.

Namun, katanya, ia mestilah disertai dengan syarat-syarat tertentu agar tidak berlaku penularan wabak Covid-19.

Sementara itu Mahathir berkata tinjauannya mendapati ramai pelancong mengabaikan penjarakan fizikal satu meter seperti ditetapkan pihak berwajib.

“Kita dapati mereka kerap kali berdekat-dekatan, tak ikut syarat jarak satu meter antara individu. Ini kerana varian Delta satu meter tak cukup (untuk menular), jadi ini mungkin akan membawa kesan,” katanya.