Wabak Covid-19 kembalikan 'politik khidmat', kata Shahrir
Wabak Covid-19 mengembalikan semula apa yang disifatkan sebagai "politik khidmat" selepas soal "kuasa" menjadi pertimbangan utama pengundi ketika membuat pilihan pada PRU14, kata tokoh veteran Umno Shahrir Abdul Samad.
Mengimbas kembali PRU pada 2018, Shahrir yang tewas di kerusi parlimen Johor Bahru berkata pengundi pada ketika itu ingin memenangkan PH sehingga menolak calon BN walaupun yang memiliki rekod khidmat yang baik.
Namun, katanya lagi, wabak Covid-19 menegaskan kembali semangat kemasyarakatan yang menjadi teras "politik khidmat".
"Kuasa semasa pandemik tidak meredakan wabak jangkitan virus itu. Khidmat, sebaliknya, mampu menentukan penyampaian bantuan kepada mereka yang terkesan dari wabak virus itu.
“Pada PRU14, pengundi memilih 'kuasa' daripada 'khidmat' dan kesan dari pilihan itu ditanggung oleh rakyat keseluruhan dan negara sendiri. Kesannya lebih awal dari kesan wabak Covid-19.
“Kini, soal yang sama bakal dihadapi oleh pemilih pada PRU15,” katanya di Facebook.
Mengulas lanjut tentang apa yang disifatkannya sebagai kecenderungan pengundi memilih ‘kuasa’ berbanding ‘khidmat’, dia memberikan contoh Nga Kor Ming (DAP) dan Redzuan Md Yusof (Bersatu) yang menang walau masing-masing pertama kali bertanding di kawasan parlimen Teluk Intan dan Alor Gajah.
Sedangkan, katanya lagi, dia tewas di kawasan parlimen yang dipegang selama tujuh penggal iaitu sejak 1978.
“Mereka dipilih pengundi tanpa perlu membuktikan rekod perkhidmatan mereka kepada pengundi kawasan tersebut.
“Sebaliknya, saya ditolak oleh pengundi Johor Bahru walaupun saya berani kata rekod perkhidmatan saya tidak tercalar oleh penyalahgunaan kuasa mahu pun terdorong oleh kepentingan diri.
“Kerana sebab itu, saya menganggap pengundi pada PRU14 tidak mahu kepada khidmat wakil rakyat. Mereka mahukan PH berkuasa dan sedia menolak rekod khidmat BN, bagaimana baik sekali pun,” kata bekas pengerusi Felda itu.
Untuk rekod, Shahrir kini sedang menunggu perbicaraan dakwaan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Kesnya akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, bermula April tahun depan.
Sebelum PRU14, Johor sentiasa dianggap sebagai kubu kuat BN. Pada PRU lalu, Shahrir tumpas kepada calon muda dari PKR Akmal Nasir, dengan majoriti 19,782 undi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai