Skip to main
Logo Malaysiakini

Perjalanan ke England lebih sukar bagi penerima Sinovac

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Nota Editor: Versi awal artikel ini menyatakan penerima vaksin Sinovac tidak boleh memasuki England. Laporan ini telah diperbetulkan dan kesilapan amat dikesali.

Peraturan perjalanan yang dikeluarkan oleh United Kingdom semalam mungkin menjadikan perjalanan bagi penerima Sinovac ke England lebih sukar.

Di bawah peraturan baru, mulai 4 Oktober, pelawat yang menerima vaksin AstraZeneca, Pfizer, Moderna, atau Janssen akan dikenakan peraturan perjalanan yang lebih longgar.

Di bawah peraturan baru ini, mereka yang menerima vaksin yang disenaraikan tidak perlu mengambil ujian Covid-19 sebelum berlepas.

Bagaimanapun mereka mesti menempah, membayar dan mengambil ujian Covid-19 pada atau sebelum hari kedua setelah tiba di England. 

Mereka juga mesti melengkapkan borang pelepasan penumpang pada bila-bila masa dalam tempoh 48 jam sebelum tiba.

Selain itu mereka juga tidak perlu menjalani kuarantin.

Laman web kerajaan UK, di mana peraturan itu diterbitkan, tidak menyebut mengenai Sinovac, yang bermaksud ia tidak memenuhi syarat untuk peraturan yang lebih longgar.

Sebaliknya, penerima Sinovac mesti mematuhi peraturan seperti pelawat yang tidak divaksinasi.

Ini termasuk mengambil ujian Covid-19 sebelum berlepas 3 hari sebelum bertolak ke England.

Mereka juga mesti dikuarantin selama 10 hari semasa tiba di England.

Pada masa ini, 46 peratus rakyat Malaysia yang divaksinasi telah menerima vaksin Sinovac, yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tidak jelas apakah peraturan baru ini juga terpakai untuk perjalanan ke Scotland, Wales dan Ireland Utara yang memiliki garis panduan tersendiri.

Laman web kerajaan UK belum mengemas kini garis panduan bagi ketiga-tiga negara ini untuk memasukkan peraturan baru seperti yang terpakai di England.