Skip to main
Logo Malaysiakini

JAS: Tindakan tegas kerja-kerja pembangunan di tanah cerun tanpa kelulusan EIA

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberi amaran kepada pihak pemaju bahawa mereka berhadapan tindakan tegas sekiranya melakukan kerja-kerja pembangunan atau pembersihan di kawasan tanah cerun tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar mana-mana pihak yang berbuat demikian boleh didenda RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang dan Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafa telah mengadakan pemeriksaan tapak di kawasan yang dilaporkan berlaku kerja-kerja pembersihan tanah dan penebangan pokok di kawasan cerun di Bukit Tabur, Mukim Hulu Kelang, Selangor.

"Kerja-kerja tanah telah dihentikan susulan arahan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 11 September yang lalu.

"Hasil pemeriksaan tapak dan pemerhatian menggunakan dron mendapati tiada sebarang langkah kawalan hakisan dan sedimen di kawasan cerun yang telah ditereskan oleh pemaju," kata Wan Abdul Latiff pada satu kenyataan, hari ini.

Bukit Tabur, Mukim Hulu Kelang.

Katanya, JAS mengingatkan semua pihak bahawa sebarang pembangunan atau pembersihan tanah di kawasan tanah yang berkecerunan 25° tetapi kurang 35° adalah tertakluk di bawah aktiviti yang ditetapkan di dalam Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Alam Sekeliling) 2015.

"Bagi kawasan yang berkecerunan 35° dan ke atas, tiada sebarang pembangunan kecuali yang dibenarkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

"Mana-mana pihak yang berhasrat menjalankan aktiviti yang ditetapkan tersebut hendaklah menjalankan satu kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan mendapatkan kelulusan Laporan EIA sebelum menjalankan sebarang aktiviti," katanya.

Menurut Wan Abdul Latif, pembangunan atau pembersihan tanah berkenaan meliputi 50 peratus atau lebih kawasan cerun yang berkecerunan lebih daripada atau sama dengan 25° tetapi kurang daripada 35° dan pembinaan jalan, terowong atau jambatan yang melintasi kawasan cerun yang berkecerunan melebihi atau sama dengan 35°5.

Oleh demikian, Wan Abdul Latif berkata JAS akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang telah menjalankan aktiviti yang ditetapkan tanpa sebarang kelulusan Laporan EIA sepertimana yang tertakluk di dalam Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum sebanyak RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali," tambahnya.

Justeru itu, Wan Abdul Latiff meminta orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e- aduan JAS di eaduan.doe.gov.my.