PGA7 bongkar 'markas' sorok lebih 2,000kg daun ketum
Tindakan sekumpulan lelaki menjadikan sebuah rumah dan bangsal sebagai 'markas' penyimpanan daun ketum terbongkar dalam satu serbuan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Kampung Air Merbo, Tanah Merah, Kelantan, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 7 petang itu pihak berkuasa berjaya menemui dan merampas 2,150 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM64,500.
Turut dirampas enam kereta pelbagai jenama serta empat motosikal dipercayai milik kumpulan lelaki yang terbabit dalam penyeludupan ketum.
Penolong Pegawai Pemerintah PGA7, Ku Majidin Che Ku Jusoh, berkata serbuan ke atas kediaman itu dibuat selepas risikan dan pemerhatian bagi mengenal pasti beberapa kenderaan keluar masuk dalam keadaan mencurigakan.
"Bagaimanapun, sekumpulan lelaki yang berada di situ bertindak melarikan diri ke semak berhampiran sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dengan meninggalkan kenderaan serta barangan yang menyalahi undang-undang ini.
"Hasil pemeriksaan, PGA7 menemui lombokan plastik lut sinar yang mengandungi daun kehijauan disyaki ketum di bahagian garaj kereta, selain turut dijumpai di ruang tamu rumah tersebut.
"Pemeriksaan diteruskan lagi di sekitar kawasan rumah sebelum turut menemui daun ketum berkenaan di sebuah bangsal yang dibina berhampiran kediaman terbabit," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Ku Majidin berkata, semua kenderaan serta daun ketum dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
"Kesemua daun ketum ini dipercayai dibawa dari negeri di utara untuk ditransit ke Tanah Merah sebelum dibawa seludup ke negara jiran, disyaki melalui jalan sungai yang tidak diwartakan sepanjang Sungai Golok.
"Permintaan serta nilai daun ketum yang tinggi di negara jiran menjadi salah satu faktor kegiatan penyeludupan ini menjadi rancak, namun PGA7 tidak akan berdiam diri sebaliknya akan terus meningkatkan kawalan," katanya.
Tambahnya, pihak berkuasa harus sentiasa peka dalam usaha menggagalkan pelbagai taktik yang digunakan sindiket penyeludup.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai