KJ: Suntikan dos ketiga dijangka mula awal Okt
Pelaksanaan suntikan dos ketiga dijangka bermula awal Oktober ini, maklum Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata, kumpulan yang dikenal pasti akan mendapat suntikan dos ketiga termasuk golongan tua yang mempunyai morbiditi, petugas barisan hadapan dalam situasi berisiko tinggi, mereka yang mempunyai imuniti rendah, serta kakitangan dan penghuni rumah warga emas.
"Selepas itu kita akan buka kepada yang lain, yang ini untuk kumpulan pertama kita mungkin akan dapat laksanakan pada awal oktober
"Ini sangat penting sebab golongan inilah dari data kematian, data kategori 5 yang berada di ICU, kebanyakan dari mereka terdiri dari golongan tersebut.
"Ada yang kata dos ketiga bermaksud dua dos (awal) tidak berkesan. TIdak.
"Banyak negara sudah memulakan dos penggalak termasuk di AS, UK dan Singapura. Ini untuk kita tingkatkan lagi sistem imun terhadap Covid-19," kata Khairy pada sidang media di Kedah selepas mesyuarat Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 negeri itu awal hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan setuju untuk memberikan dos ketiga vaksin Covid-19 sebagai langkah meningkatkan perlindungan kepada orang ramai.
Katanya, keutamaan akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dulu.
Katanya mereka termasuklah petugas barisan hadapan, pesakit kurang daya tahan imunisasi, warga tua dengan komorbiditi dan individu yang bekerja atau tinggal di pusat jangka panjang.
Menurut Ismail Sabri pemberian dos ketiga itu akan dibuat selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.
Selain golong yang dinyatakan, Khairy berkata keputusan belum dibaut berhubung sama ada dos ketiga akan diwajibkan kepada semua orang atau tidak, memandangkan ia masih dalam kajian pakar.
Di AS, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) baru saja umum (dos ketiga) untuk golongan 65 tahun ke atas dengan komorbiditi.
"Setiap negara ada polisi berbeza. Kita akan mulakan dengan kumpulan rentan dahulu," katanya lagi.
'Perlu kelulusan NPRA'
Berhubung jenis vaksin yang akan diberi, Khairy berkata semua pengeluar vakin telah diminta menghantar maklumat berhubung dos ketiga mereka kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
"Saya jangka dalam tempoh seminggu dua, boleh diluluskan. Selepas itu saya akan buat pengumuman vakisn jenis apa, boleh campur atau tidak - semua itu saya akan umumkan kemudian," katanya.
Turut bersama sidang media itu adalah Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata kerajaan Kedah akan mula memberi vaksin kepada kira-kira 180,000 remaja sehingga berusia 17 tahun di negeri itu esok, dan ia dijangka selesai dalam masa sebulan.
Berhubung tarikh jangkaan Kedah beralih dari Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara, dia hanya berkata ia bergantung kepada perkembangan syarat yang ditetapkan, yang setakat ini menunjukkan trend positif.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai