Mayat demi mayat tiba tak putus-putus - Doktor HTAR
Gelombang keempat penularan Covid-19 di negara ini yang bermula pada Jun lepas, merupakan yang terburuk setakat ini apabila ribuan nyawa menjadi korban, dan bagi pakar patologi forensik Dr Nur Ayutimasery Abdullah, tekanan yang membebani beliau dan pasukannya begitu hebat.
Menahan air matanya yang bertakung, Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor itu membuka cerita bagaimana beliau dan pasukannya mengendalikan mayat demi mayat yang tiba tidak putus-putus di jabatannya dalam tempoh yang sangat sekejap.
“(Kami) tidak dapat tidur malam kerana terlalu resah memikirkan tentang hari esok, apa yang menunggu kami, jumlah mayat yang akan kami kendalikan serta aduan yang bakal kami terima,” katanya semasa berkongsi pengalaman beliau dengan Bernama.
Menurutnya, ada satu ketika pada Ogos lepas, tatkala jangkitan baru harian di Selangor seringkali melepasi angka 8,000, jabatannya menerima 155 mayat. Malah, ketika temu bual ini diadakan, masih ada 27 mayat warga asing yang tersimpan di dalam kontena simpanan mayat sementara hospital sejak lebih sebulan lalu, kerana menunggu kedutaan yang berkenaan memberi kebenaran untuk penyerahan bagi urusan pengebumian.
Setiap hari, selain membuat susulan dengan kedutaan, Dr Nur Ayutimasery dan stafnya juga harus berdepan dengan emosi ahli keluarga si mati yang mahu melihat mayat orang kesayangan mereka buat kali terakhir, menunggu keputusan ujian makmal bagi mengesahkan jangkitan Covid-19 serta memadankan nama si mati dengan mayat yang betul.
Bagaimanapun, kebelakangan ini tekanan yang dirasai reda sedikit berikutan kes baru harian di Lembah Klang sudah menurun kepada bawah 3,000, dan jabatan beliau menggunakan masa yang ada untuk menyelesaikan kes tertunggak.
Menurutnya, bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan seperti MERCY Malaysia yang bekerjasama dengan Maybank di HTAR, turut membantu mengurangkan beban hospital.
Sekalipun beban kerja berkurangan sedikit buat Dr Nur Ayutimasery dan lain-lain petugas barisan hadapan, ramai antara mereka yang berkata tidak mampu menarik nafas lega disebabkan bimbang satu lagi gelombang akan melanda - sama ada kerana varian baru mahupun akibat pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial yang disifatkan terlalu awal.
Mereka menyifatkan situasi itu sebagai persediaan menghadapi kemungkinan terburuk. Ahli psikologi pula melihat keadaan tersebut sebagai kesan berpanjangan Covid-19 ke atas petugas kesihatan yang telah berjuang menentang penyakit baru berkenaan tanpa henti sejak Mac tahun lepas.
Pakar kesihatan mental yang menawarkan khidmat mereka di unit sokongan psikososial MERCY Malaysia di HTAR, berkata mereka mengesan tingkah laku berjaga-jaga yang keterlaluan dan kerisauan dalam kebanyakan petugas yang mereka temui. Sesetengah petugas menyatakan mereka berasa bersalah kerana tidak dapat memberikan jagaan terbaik kepada pesakit selain ada yang trauma kerana perlu menentukan hidup dan mati pesakit.
Perunding psikologi Dr Hariyati Abdul Majid yang juga penasihat Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial MERCY Malaysia tidak hairan dengan situasi itu dan berkata penurunan kes harian tidak bermakna stres petugas kesihatan juga mereda.
“Berikutan kes (di Lembah Klang) sekarang menurun, mereka sebenarnya boleh berehat dan melihat semula apa yang berlaku dalam tempoh setahun setengah yang lalu, dan apa yang mereka rasakan sekarang ialah kombinasi perasaan (dan kesedihan yang tertangguh),” katanya.
Tambah beliau, stresor yang berterusan tidak bagus untuk kesihatan emosi dan fizikal walau sesiapa juga.
Hari-hari gelap
Bermula penghujung Jun, laporan berita serta hantaran media sosial banyak berkisar tentang kisah pesakit terbaring di atas lantai sementara menunggu kekosongan katil, selain berkenaan hospital termasuk HTAR menempatkan katil di kawasan letak kenderaan bagi menampung pertambahan pesakit.
Sama seperti anggota tentera yang bertukar-tukar cerita tentang pengalaman mereka di medan perang, staf HTAR juga mempunyai kisah ngeri sendiri untuk dikongsikan.
Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR Dr Ahmad Tajuddin Mohamad Nor memberitahu Bernama bahawa pada peringkat awal, jabatannya menjadi tidak terkawal hanya dalam masa yang singkat kerana tidak bersedia untuk menangani jumlah pesakit yang sebegitu besar serentak.
“Segalanya huru-hara, kami langsung tidak dapat memenuhi keperluan, dan yang kami nampak hanyalah barisan panjang pesakit Covid-19 di jabatan kami. Pada satu ketika, ada sekitar 200 pesakit yang kami hanya dapat atur berdasarkan keadaan mereka, belum lagi diberikan rawatan sempurna… cuma diproses,” katanya.
Beliau berkata apa yang benar-benar membezakan gelombang terbaru itu dengan yang terdahulu ialah keadaan pesakit merosot dengan amat pantas, sekali gus menyebabkan petugas berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan oksigen buat semua pesakit yang memerlukan.
Pada masa yang sama katanya, beliau dan rakan setugas juga terpaksa menangani ketakutan membawa pulang virus maut tersebut dan menjangkiti ahli keluarga serta rakan memandangkan pada waktu itu tidak semua memperoleh vaksin Covid-19.
“Walaupun saya tidak pernah mengendalikan rakan-rakan sejabatan, saya tahu ada antara mereka yang menjadi mangsa (Covid-19).
"Penyakit ini tidak kenal siapa. Kita ingat kita akan selamat, tapi tahu-tahu kita juga dijangkiti,” katanya.
Beberapa jururawat HTAR yang ditemui Bernama mendedahkan mereka berasa amat tertekan pada Julai dan awal Ogos lepas kerana seringkali berhadapan dengan masalah kekurangan petugas.
Rakan sekerja terdedah kepada jangkitan dan terpaksa dikuarantin, sekali gus menambah beban tugas kepada yang lain yang adakala menjaga lebih 20 pesakit setiap seorang.
Seorang daripada mereka memberitahu beliau berasa sangat sedih apabila netizen mengkritik kononnya tidak menerima jagaan yang sewajarnya daripada jururawat.
“Mereka tidak faham cara kami bekerja,” keluhnya.
Dr Nur Ayutimasery berkata walaupun jabatannya mengendalikan mayat setiap hari, ada kes kematian akibat Covid-19 yang benar-benar menyentuh perasaan mereka seperti satu kes pada Julai, melibatkan sepasang suami isteri.
“Kedua-duanya meninggal dunia akibat Covid-19. Satu-satunya individu yang dapat kami hubungi (pada peringkat awal) ialah anak lelaki mereka yang berusia 11 tahun,” katanya dengan nada sebak. Menurutnya, mereka kemudian dapat menghubungi bapa saudara kanak-kanak itu yang datang menuntut jenazah pasangan suami isteri tersebut.
Ditanya mengenai kaunseling, ramai petugas kesihatan terbabit menyatakan mereka tidak ada masa untuk mendapatkan khidmat itu.
Berat hati
Pihak pengurusan HTAR yang memuji kekuatan mental dan fizikal barisan petugasnya, berkata mereka yang berkhidmat dalam bidang penjagaan kesihatan selalunya tabah. Namun mereka juga mengakui keunikan cabaran yang dibawa oleh Covid-19.
“Petugas penjagaan kesihatan sudah biasa menghadapi bencana. Cuma bencana yang berlaku sekarang ini masih belum berakhir,” kata Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi.
Beliau berkata hospital itu berusaha mengurangkan stres dan kelesuan dalam kalangan tenaga kerjanya dengan menetapkan setiap petugas berehat sehari selepas tiga hari bekerja, selain menggalakkan mereka mendapatkan terapi daripada ahli psikoterapi hospital.
Bagaimanapun sesetengah petugas mungkin keberatan untuk berbuat demikian kerana khuatir akan menerima padah sekiranya mendapatkan bantuan dalaman hospital.
Dr Hariyati berkata setakat ini, lebih 160 petugas barisan hadapan HTAR mendapatkan perkhidmatan psikososial daripada MERCY Malaysia, dan menambah ramai yang bimbang tentang aspek kerahsiaan.
Beliau juga berkata Covid-19 menekankan kepentingan kesihatan mental, justeru tabu atau stigma tidak seharusnya wujud terhadap sesiapa sahaja termasuk petugas barisan hadapan yang mendapatkan sokongan emosi.
Tambah beliau, semua tempat kerja harus menyediakan ruang yang selamat untuk pekerja mereka mendapatkan bantuan selain memberikan jaminan tidak ada akibat buruk yang menanti mereka.
“Kesihatan mental tidak harus dikesampingkan. Perkara ini bukan sesuatu yang hanya kita bincang apabila ada kes bunuh diri,” ujarnya.
“Kesimpulannya, adalah amat penting untuk kita meyakinkan mereka bahawa okey untuk mereka mendapatkan sokongan dan okey bagi mereka berjumpa ahli psikologi.”
Tanda-tanda masalah mental
Kesedihan, stres dan keresahan melampau yang berpotensi menjadi kecelaruan mental seperti kecelaruan stres pascatrauma (PTSD) boleh dicegah menerusi pelbagai cara.
Perunding psikologi yang juga penasihat MERCY Malaysia Dr Haryati Abdul Majid berkata antara tanda-tanda utama yang perlu diperhatikan ialah perubahan sikap dan corak hidup yang berlaku dalam jangka panjang.
“Perhatikan tanda-tanda seperti perubahan selera - sesuatu yang sangat biasa. Kadang-kadang kita dengar ‘saya tak nak makan, tak ada selera’. Kalau sehari tidak mengapa, namun jika mereka menunjukkan penurunan selera makan yang ketara, mengalami susut berat badan selama lebih dua bulan, ini bermakna ada sesuatu yang lebih serius,” jelasnya.
Begitu juga jika sebaliknya, yang mana peningkatan selera makan secara berterusan turut menandakan kewujudan masalah emosi dan kesihatan mental yang serius.
Dr Hariyati berkata satu lagi tanda ialah gangguan corak tidur seperti mengalami mimpi ngeri serta sukar tidur atau tidur yang berpanjangan hingga berminggu-minggu dan berbulan.
Menurutnya, sesetengah individu juga mungkin menjauhkan diri daripada orang lain, termasuk kawan dan ahli keluarga.
Mereka mungkin perlukan ruang untuk bersendirian buat seketika, namun jika berterusan hingga dua bulan atau lebih, ini juga menandakan wujud masalah, katanya, menambah pada waktu tersebut, orang yang tersayang perlu mendekati dan menasihati mereka agar mendapatkan kaunseling.
- Bernama (Diterjemah dan disunting oleh Noor Hayati Muda)
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai