Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki maut dilanggar kereta api

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang lelaki maut selepas dilanggar kereta api dalam kejadian di kilometer 4.5 landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kawasan Perusahaan Perai berhampiran Kampung Jawa di Bukit Mertajam, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata lelaki warga tempatan berusia 40-an itu mengalami kecederaan parah dalam kemalangan pukul 8.20 malam tersebut dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati kereta api itu dari arah Butterworth menghala Bukit Mertajam, melanggar lelaki terbabit dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk tujuan saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat.

Beliau berkata setakat ini siasatan mendapati kematian lelaki itu tiada unsur jenayah dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak menceroboh kawasan yang dipagar atau melintasi landasan KTM kerana ia boleh membahayakan nyawa dan kerosakan harta benda," katanya.

- Bernama