Skip to main
Logo Malaysiakini

PDPR: Lebih separuh pelajar rasa 'tertekan'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Tinjauan Kementerian Pendidikan menunjukkan lebih separuh pelajar (responden) merasa tertekan kerana Sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PDPR).

Ini berdasarkan tinjauan antara bulan Mac dan Julai tahun lalu yang melibatkan 39,967 guru, 52,413 pelajar dan 59,624 ibu bapa.

"51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah.

"Daripada kumpulan tersebut, 48.9 peratus murid menyatakan sebab tertekan adalah kerana interaksi yang terhad dengan guru, manakala 55.0 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan.

"Sebanyak 53.4 peratus murid pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran," kata jawapan bertulis kementerian di Dewan Rakyat.

Jawapan bertulis itu bagi menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Anggota Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, yang meminta Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin untuk menyatakan bagaimana keadaan pembelajaran di rumah ketika pandemik Covid-19.

Tinjauan itu juga mendapati pembelajaran dalam talian di rumah lambat pada peringkat awal tahun lalu tetapi telah meningkat pada separuh kedua tahun ini.

Tinjauan tahun lalu itu menunjukkan hanya 59.3 peratus pelajar bandar mengambil bahagian dalam pembelajaran di rumah manakala penyertaan pelajar luar bandar pada 51.4 peratus.

Pun begitu, data yang lebih baru dari 20 Januari hingga 30 Ogos tahun ini menunjukkan penyertaan pelajar melalui PDPR telah bertambah baik.

Dalam tempoh ini, penglibatan pelajar sekolah rendah dalam pembelajaran di rumah dalam talian meningkat dari 87.1 peratus kepada 99.2 peratus, sementara pelajar sekolah menengah meningkat dari 78 peratus menjadi 97.3 peratus.

Pada jawapan bertulis yang berasingan, Radzi berkata kerajaan melalui Yayasan Hasanah, telah mengedarkan 111,040 dari 150,000 komputer riba yang disasarkan kepada pelajar B40 untuk membantu dalam e-pembelajaran mereka.

Sementara itu, jelasnya 38,960 lagi unit komputer riba sedang diedarkan dengan sasaran selesai pada akhir bulan ini.

Sekolah akan dibuka semula secara berperingkat mulai bulan depan.