Skip to main
Logo Malaysiakini

UITM Terengganu laksana projek solar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Universiti Teknologi Mara (UITM) Cawangan Terengganu terus melakar sejarah apabila muncul sebagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) pertama yang memiliki stesen jana kuasa solar fotovolta di negeri itu.

Ketua Projek Tenaga Solar UITM Cawangan Terengganu Dr Ermeey Abd Kadir berkata pemasangan 3,885 panel solar itu yang dimulakan pada Julai tahun lepas mengambil masa empat bulan untuk disiapkan dan kini ia beroperasi pada kapasiti 1.6 megawatt.

"Sebelum pandemik Covid-19, kadar penggunaan bil elektrik setiap bulan di UITM Cawangan Terengganu adalah kira-kira RM350,000. Namun, dengan penggunaan solar, kita mampu menjimatkan hingga 20 peratus setiap bulan.

"Tidak sekadar itu, kita juga menjana pendapatan hasil jualan elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM700,000 setakat ini," katanya kepada pemberita dalam sesi taklimat projek solar yang turut dihadiri Rektor UITM Cawangan Terengganu Prof Dr Mazidah Puteh di Dungun semalam.

Projek solar yang menelan belanja RM6 juta itu dibangunkan dan dikendalikan oleh UITM Holdings Sdn Bhd (UHSB) dengan pemasangan panel di atas bumbung parkir kereta, bumbung dewan utama serta beberapa bangunan lain di keseluruhan kampus.

Kejayaan itu turut mendorong UITM untuk berkongsi kepakarannya dengan mana-mana pihak yang berminat untuk menggunakan solar sebagai sumber tenaga elektrik di premis mereka terutama jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat swasta.

Ermeey berkata walaupun kos pemasangan kali pertama agak besar dengan mencecah jutaan ringgit untuk premis yang besar atau sehingga RM35,000 untuk pemasangan di rumah, penjimatan yang bakal dinikmati oleh pemilik premis sangat berbaloi iaitu jaminan hingga 25 tahun.

"Antara kelebihan solar ialah ia sumber tenaga yang boleh diperbarui tanpa had dan teknologi dalam industri ini berkembang pesat saban tahun. Ia mempunyai potensi yang cukup besar dalam menjana pendapatan.

"Kos penyelenggaraannya juga sangat rendah kerana hanya inverter sahaja perlu ditukar secara berkala antara lima hingga 10 tahun untuk memastikan ia kekal berfungsi pada tahap terbaik untuk menukar tenaga solar kepada tenaga elektrik," katanya.

Susulan kejayaan projek solar itu juga, UITM Cawangan Terengganu akan memperkenalkan satu kursus baru iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sistem Pintar yang dijangka bermula selewat-lewatnyanya Mac 2023.

"Secara dasarnya, kelulusan telah diperoleh di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi kerana kami perlu memastikan kursus baru itu tidak sama dengan IPT yang lain dan paling penting pasaran kerja untuk graduan nanti adalah tinggi seiring perkembangan semasa.

"Pengambilan pertama pelajar dijangka 30 orang dan mereka boleh menjadikan projek solar ini sebagai satu antara cabang penyelidikan selain kejuruteraan tenaga boleh diperbarui, data analisis dan sistem pintar lain berasaskan teknologi digital," katanya.

Penggunaan tenaga solar di UITM Cawangan Terengganu serta beberapa kampus lain adalah kesinambungan UITM untuk mencapai tahap neutral karbon selain menjana pendapatan yang mampan dalam jangka masa panjang.

Sehingga kini, UITM adalah satu-satunya universiti di Malaysia yang memiliki dan mengendalikan dua loji jana kuasa solar fotovolta berskala besar (LSSPV) dengan kapasiti gabungan penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 75MWac (92.58 megawatt puncak atau MWp).

LSSPV pertama UITM di Gambang, Pahang telah memulakan operasi komersial pada April 2019 manakala loji keduanya di Pasir Gudang, Johor pula beroperasi pada Disember 2020.

- Bernama