Menteri kanan salah campur urusan speaker, canggah reformasi parlimen - Peguam
Seorang menteri kanan didakwa menghalang speaker Dewan Rakyat Azhar Harun daripada menjemput ahli parlimen pembangkang mempengerusikan sidang parlimen, adalah bertentangan dengan pembaharuan parlimen yang dicanang-canangkan kerajaan, kata peguam Haniff Khatri Abdulla.
“Ia bukan sahaja adalah salah laku atau salah campur pihak eksekutif melalui menteri berkenaan, malah bercanggah dengan aku janji kerajaan untuk mengadakan reformasi parlimen …” katanya dalam satu kenyataan.
Haniff memberikan respons terhadap laporan semalam bahawa Azhar menjemput ahli parlimen Teluk Intan dari DAP Nga Kor Ming, yang juga bekas timbalan speaker Dewan Rakyat, untuk mempengerusikan sidang parlimen tetapi dikatakan dihalang seorang menteri kanan yang tidak dinamakan.
Azhar sebelum ini turut menjemput ahli parlimen Pengerang daripada Umno Azalina Othman, seorang lagi bekas timbalan speaker, untuk mempengerusikan sidang parlimen pada minggu lalu.
Perkembangan itu susulan kekosongan satu daripada dua jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat, yang sepatutnya diisi pada 14 September lalu.
Bagaimanapun, undian untuk jawatan itu ditangguh kerana dakwaan kebimbangan bilangan undi kerajaan mungkin akan menjadi tidak cukup kerana protes daripada Bersatu.
Kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah mencalonkan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan untuk memegang jawatan itu.
Ahmad yang juga yang juga setiausaha agung Umno itu kini sedang menhadapi perbicaraan kes pengubahan wang haram di mahkamah.
Haniff berkata memandangkan salah satu daripada jawatan itu masih kosong, beban tugas dipikul Azhar dan seorang lagi timbalan speaker, Mohd Rashid Hasnon akan menjadi berat.
Oleh itu, tambahnya, Azhar memerlukan bantuan untuk mengagihkan beban tugasan itu dan ia tertakluk bawah hak dan budi bicaranya untuk menjemput mana-mana ahli Dewan Rakyat untuk mempengerusikan persidangan secara sementara, di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 7(3).
Haniff yang sebelum ini berkhidmat sebagai peguam kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata adalah salah untuk eksekutif masuk campur dalam urusan parlimen.
“Adalah disarankan Ismail Sabri memandang serius laporan berkenaan.
“Dan jika benar, maka ia adalah terpenting secara serta merta untuk memperbetul perkara itu dengan permintaan maaf terbuka oleh menteri berkenaan di dalam Dewan Rakyat serta kepada orang ramai, rakyat Malaysia,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai