KJ janji teliti masalah dihadapi doktor kontrak
Khairy Jamaluddin hari ini memberi jaminan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti semua isu yang dibangkitkan kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK).
Kata menteri kesihatan itu, beberapa isu dibangkitkan dalam pertemuan secara maya di antara dia dengan HDK hari ini.
Antaranya kata Khairy isu kaedah penilaian prestasi bagi perjawatan tetap, peluang melanjutan pengajian lebih tinggi dan masa hadapan kerjaya mereka.
"Saya telah berikan komitmen kepada mereka bahawa KKM akan melihat setiap isu yang dibangkitkan serta akan berusaha mencari titik penyelesaian interim dan seterusnya ke arah penyelesaian yang lebih baik," katanya.
Khairy turut berkongsi gambar pertemuan yang berlangsung itu di akaun media sosialnya.
Untuk rekod HDK adalah gerakan membabitkan doktor kontrak yang mengadakan mogok umum di seluruh negara pada Julai lalu.
Langkah itu dibuat sebagai desakan kepada kerajaan untuk menangani pelbagai isu yang membelenggu doktor kontrak sejak sekian lama.
Sementara itu HDK berkata mereka akan mengongsikan butiran perbincangkan dengan Khairy itu dengan rakan-rakan mereka selepas ini.
Salah seorang anggota HDK, Aven Fauzi, menciap dan menggambarkan pertemuan tersebut - yang turut disertai Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah - sebagai detik yang penting kepada gerakan tersebut.
"Terima kasih YB Khairy Jamaluddin kerana sudi mendengar masalah dari mulut kami sendiri. Nanti kami kongsikan dengan rakan-rakan input pertemuan tadi.
"Ayuh lakukan perubahan!" katanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen HDK berhubung pertemuan tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai