Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan hantar pulang Sajat ke Malaysia - NGO hak asasi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Usahawan kosmetik dalam buruan Nur Sajat tidak patut dihantar pulang ke Malaysia, kata NGO hak asasi manusia antarabangsa Human Rights Watch.

Pengarahnya bagi wilayah Asia Phil Robertson berkata dalam keadaan apa pun, Sajat sebagai pelarian yang diiktiraf tidak harus dihantar pulang ke negara asal.

“Dia sebaliknya perlu dihantar ke negara yang menawarkannya perlindungan hak, tidak dihukum kerana menjadi LGBT - itu yang akan berlaku jika dia dihantar ke Malaysia,” katanya di media sosial pada Isnin.

Media semalam melaporkan Sajat ditangkap di sebuah kondominium mewah di Bangkok, Thailand kerana tidak memiliki pasport yang sah.

Memetik sumber, media melaporkan Sajat mempunyai kad pelarian yang dikeluarkan oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Nur Sajat

Selepas dihadapkan ke mahkamah, dia dibebaskan dengan AS$2,000 (RM8,343) serta diminta melapor diri kepada pihak imigresen setiap 14 hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata pihak polis dalam proses memohon ekstradisi bagi membawa pulang Sajat.

Sajat diburu polis Malaysia selepas menjadi suspek kes menghalang tugas penjawat awam.

Mahkamah syariah di Selangor juga mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas gagal hadir untuk prosiding kes lelaki berpakaian wanita.

Media melaporkan dia melarikan diri daripada Malaysia dengan memakai purdah dan menggunakan bantuan individu yang mahir dalam selok-belok sempadan serta mempunyai kerakyatan bertindih (Malaysia dan Thailand).