Kebenaran rentas negeri: Akan ada sinar di hujung terowong, kata Hisham
PARLIMEN l Keputusan kebenaran merentas negeri perlu dibuat secara bertanggungjawab dengan memastikan ia benar-benar selamat, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menggunakan slogan #reopeningsafely berhubung isu kebenaran rentas negeri, beliau berkata pelbagai faktor perlu dipertimbang termasuk jumlah peratusan vaksinasi dan kemampuan hospital di negeri dalam menangani Covid-19 sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
Katanya risiko penularan wabak Covid-19 juga perlu dilihat jika perjalanan secara besar-besaran dibenarkan terutama bagi mereka yang berada di kawasan berisiko.
“Saya harap semua tahu kita bukan sahaja serius tetapi kita juga bertanggungjawab untuk memastikan apabila kita buat kelonggaran, kita lakukannya dalam keadaan selamat dan bertanggungjawab,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Hishammuddin berkata pada akhirnya, akan ada sinar di hujung terowong namun rakyat perlu memberi masa kepada kerajaan dalam membuat keputusan berhubung perkara itu.
Beliau berkata buat masa ini, kerajaan telah memberikan kelonggaran berkaitan rentas negeri seperti projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dan pasangan jarak jauh yang telah lengkap vaksinasi.
“Menuju fasa endemik, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat. Saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Hishammuddin juga berkata mesyuarat kedua Menteri Kuartet Covid-19 hari ini bersetuju dengan cadangan supaya pemilik premis perniagaan stesen minyak, restoran, kedai makan dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi secara seragam di semua fasa mulai 6 pagi hingga 12 malam kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Beliau berkata keputusan itu akan disyor untuk diputuskan kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.
Katanya mesyuarat juga memfokus kepada penambahbaikan SOP dengan usaha mempermudah 181 SOP kepada 10 sahaja agar berjalan dengan baik sekali gus memberi keyakinan ia dapat diselesaikan seperti dirancang pada permulaan Oktober.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai