Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Apakah masa depan pemuliharaan hidupan liar di M'sia?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Mungkin bukan perkara biasa untuk selebriti berbicara soal pemuliharaan dan keprihatinan terhadap hidupan liar, tapi saya percaya sudah tiba masanya untuk kami menggunakan suara kami dan bercakap bagi pihak haiwan yang tidak boleh bersuara.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya diberi penghormatan untuk bekerjasama dengan beberapa NGO, yang akhirnya membuka mata saya terhadap cabaran dihadapi hidupan liar serta pihak yang melindungi haiwan itu.

Dalam surat pertama saya kepada editor ini, saya ingin membincangkan kepentingan pemulihan hidupan liar di negara ini yang sangat kita sayangi.

Hari demi hari kita kehilangan lebih banyak primat berharga akibat tindakan manusia. Rentetan pemusnahan habitat, pemecahan hutan dan perdagangan hidupan liar secara haram, dapatkah populasi itu diselamatkan daripada kepupusan?

Satu penyelesaian untuk masalah ini adalah melalui pemulihan hidupan liar, suatu kekurangan di negara kita.

Gambar fail, pelakon Sharifah Sofia.

Pemulihan adalah proses membantu haiwan liar yang telah dikeluarkan dari habitat asalnya untuk kembali ke alam hidupan liar semula (rewilding). Bagi sebilangan spesies itu mudah, namun untuk yang lain, proses itu boleh menjadi sangat kompleks.

Setiap spesies memerlukan pakarnya sendiri untuk menangani proses tersebut. Tanpa pemulihan yang betul, majoriti hidupan liar yang dilepaskan akan mati. 

Ia tidak tahu bagaimana untuk hidup, ia mungkin tidak tahu bagaimana mahu mencari makanan, bagaimana mempertahankan kawasannya, atau bagaimana untuk mempertahankan diri bahkan tahu apakah sifat semula jadi pemangsa.

Pendedahan haiwan terhadap manusia menyebabkan ia kehilangan semua naluri semula jadi. Tapi sekiranya pemulihan dapat dilakukan dengan betul, hal sedemikian dapat diatasi.

Bunuh ibu ungka, rampas anak

Ambil contoh ungka misalnya. Adakah anda tahu haiwan terancam itu memerlukan masa 5 hingga 15 tahun untuk memulihkan seekor haiwan spesis itu? Gila bukan?

Ungka menjadi spesis terancam terutamanya akibat perdagangan haiwan peliharaan yang haram di sisi undang-undang tapi berkembang pesat. 

Haiwan itu dibeli dan dijual (biasanya melalui media sosial) kerana rupanya yang menarik serta menyerupai manusia. Tetapi di sebalik itu, ada kisah yang menyayat hati.

Ungka biasanya dirampas daripada pelukan ibunya ketika ia masih kecil lagi dan terpaksa menyaksikan seluruh keluarganya dibunuh. Ia kemudian diangkut dalam kotak dengan bas kargo dan lori seperti objek.

Jika tidak didera, ungka yang dibela sebagai haiwan peliharaan juga dipaksa menyertai aktiviti yang tidak wajar seperti memakai pakaian serta berjaga sehingga larut malam serta dimarahi. Ia terjadi apabila haiwan itu menunjukkan naluri semula jadi seperti berayun atau bermain menggigit.

Semua trauma ini menyebabkan haiwan itu memerlukan rawatan mental yang intensif untuk mendapatkan semula keyakinan diri.

Pemulihan yang betul dapat menenangkan haiwan itu yang mengalami trauma dan pada masa sama membantu ia mendapatkan semula naluri semula jadi.

Setiap ungka perlu lulus tujuh ujian atau kriteria untuk membuktikan kesediaan haiwan itu kembali kepada penghidupan liar. Oleh kerana ungka adalah haiwan yang mempunyai tahap sosial tinggi dan berorientasikan kekeluargaan, kriteria terakhir adalah ungka harus dilepaskan dengan anak (daripada pasangan hidupnya).

Perubahan daripada bekas haiwan peliharaan yang mengalami trauma sehingga menjadi ibu bapa pada usia sangat muda adalah satu perjalanan panjang untuk seekor ungka.

Pemulihan hidupan liar bermula di rumah-rumah individu penyayang dan kemudian pusat pemulihan pertama didirikan di River Forest, Illinois, AS pada 1039.

Pemulihan ungka bermula pada tahun 1992 di Thailand oleh Gibbon Rehabilitation Project atau GRP. Mereka mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk melepaskan ungka pertama mereka. Selama bertahun-tahun, Malaysia adalah satu-satunya negara yang tidak mempunyai program pemulihan ungka.

Malangnya, satu-satunya pusat pemulihan yang kita ada tidak mendapat sokongan yang diperlukan di Semenanjung Malaysia. 

The Gibbon Conservation Society (GCS), yang ditubuhkan oleh Mariani Ramli, seorang wanita tempatan ketika dia berusia awal 20an, merupakan sebuah organisasi yang bekerja keras untuk membantu primat bersaiz kecil di Malaysia itu.

Baru-baru ini, mereka telah berkongsi kerumitan pemulihan di laman media sosial mereka dan saya sarankan agar anda mengikutinya untuk mengetahui lebih lanjut.

Saya berharap negara ini dapat menyokong usaha yang dilakukan oleh NGO kecil seperti mereka dalam menjaga hidupan liar kita. Bukan semua orang mempunyai kesabaran dan dedikasi untuk melakukan pekerjaan seperti itu, tapi sekurang-kurangnya, kita tunjukkan sokongan.

Wabak Covid-19 telah mempengaruhi kutipan dana GCS. Sekiranya anda mampu dari segi kewangan, sumbanglah. Sumbangan yang sedikit, tetap membawa perbezaan.

Bagi mereka yang mempunyai hidupan liar sebagai haiwan peliharaan, tolong kembalikan haiwan itu untuk pemulihan, jika anda membela ungka, hantarkan ia ke GCS.

Terakhir, dan mungkin yang paling penting, adalah berikan suara anda untuk tujuan seperti saya dan berkongsi kesedaran untuk ungka dan semua hidupan liar kita, agar semua spesis akan mempunyai masa depan yang lebih baik.


SHARIFAH SOFIA ialah seorang ibu, pelakon serta penyolong pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar terancam.

Diterjemahkan secara bebas daripada artikel asal di sini dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.